Jawatankuasa Pilihan Khas bincang RUU rokok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama akan dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan.

- Advertisement -

Ini kali kedua RUU itu dirujuk kepada JKPK Kesihatan selepas kali pertama dibentangkan oleh Menteri Kesihatan sebelum ini, Khairy Jamaluddin, pada tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata tindakan itu diambil berdasarkan maklum balas mengenai RUU itu, terutama melalui sesi libat urus pada 6 Mac lalu, selain pandangan Ahli Parlimen, badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Adalah penting RUU ini mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua pihak. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan RUU ini dirujuk kepada JKPK Kesihatan yang akan bertindak sebagai semak dan imbang serta mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bertujuan mengharamkan penggunaan, pembelian dan penjualan rokok dan produk vape kepada mereka yang dilahirkan selepas 2007.

Pada sesi taklimat bersama media 6 Jun pula, beliau berkata KKM telah memasukkan semua 23 cadangan pindaan terdahulu serta lima cadangan baharu.

Beliau menyifatkan RUU ini lebih komprehensif dan meliputi bukan sahaja rokok konvensional, tetapi rokok alaf baharu termasuk elektronik serta rokok combustible. – HARAKAHDAILY 12/6/2023

- Advertisement -