Sekolah berasrama atasi keciciran pelajar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memperbanyakkan sekolah yang mempunyai kemudahan asrama, termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di bandar dan luar bandar sebagai antara cara memastikan keciciran pelajar dari arus pendidikan negara tidak berulang.

- Advertisement -

Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berkata, satu kajian mendedahkan hampir 60 peratus situasi itu berlaku akibat kemiskinan.

Katanya, penubuhan sekolah berasrama mampu meringankan beban ibu bapa yang menanggung kos tinggi untuk menghantar anak ke sekolah, terutama yang terletak jauh dari rumah.

“Sejauh manakah inisiatif sistem pendidikan berkualiti tinggi ini diusahakan oleh kementerian kepada keluarga miskin di bandar dan luar bandar.

“Ia seperti menyediakan dan menambah sekolah berasrama, termasuk SBP dan begitu juga dengan kos pengangkutan memandangkan mereka mengalami masalah pengangkutan,” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, kementerian sentiasa memandang serius gejala keciciran pelajar dari arus pendidikan yang berpunca dari kemiskinan keluarga.

Beliau mengakui antara penyelesaian terhadap situasi itu ialah membina lebih banyak sekolah berasrama, termasuk SBP di bandar dan luar bandar bagi menampung permintaan ibu bapa.

“Mengenai asrama ini, kementerian akan pantau dan teliti. Kita mesti buat kajian jika mahu membuat penambahan, ada tak permintaan yang mendesak untuk menambah sekolah berasrama. – HARAKAHDAILY 12/6/2023

- Advertisement -