Tokoh korporat anak Selangor: Arkitek ‘Dawn Raid’

- Advertisement -

SELANGOR terkenal sebagai sebuah negeri yang kaya kerana banyaknya industri-industri negara-negara berpusat di negeri Darul Ehsan. Seiring kemajuan, sudah pasti ia dipacu oleh tokoh-tokoh korporat yang hebat dan berpengalaman dalam industri.

Jom kenali beberapa tokoh korporat yang hebat daripada Selangor:

1. Tan Sri Khalid Ibrahim merupakan anak Kampung Jalan Raja Abdullah, Jeram, Kuala Selangor. Beliau pernah menjadi CEO Kumpulan Guthrie dari tahun 1995 hingga tahun 2003.

Pencapaian terbaik beliau yang menguntungkan negara adalah dalam peristiwa ‘Dawn Raid’.

Mana mungkin kita lupa, sewaktu usianya baru mencecah awal 30-an, Khalid adalah antara ‘arkitek’ utama peristiwa ‘Serangan Subuh Guthrie’ pada 1981 yang menyebabkan syarikat perladangan gergasi Guthrie dimiliki Britain jatuh ke tangan Malaysia selepas sahamnya dibeli sebaik sahaja Bursa Saham London memulakan dagangan paginya.

Kepintaran Tan Sri mengendalikan ‘serangan korporat’ ini berlaku lebih kurang 3 hingga 4 jam bermula pada pagi 7 September 1981. 

Segala aktiviti perladangan seperti minyak sawit yang dijalankan oleh Guthrie Corporation yang sebelum ini dimiliki oleh syarikat-syarikat British akhirnya berjaya dibawa pulang dan berada dalam genggaman orang Malaysia!

2. Tan Sri Salleh Majid diakui antara teknokrat yang cukup hebat dalam permainan Ringgit dan angka. Beliau merupakan bekas Presiden Bursa Malaysia dan pakar ekonomi tersohor di Malaysia. 

Lebih mencabar, Tan Sri adalah orang yang mengemudikan bursa saham tempatan dalam menghadapi krisis kewangan Asia pada tahun 1997 hingga 1998.

Merupakan anak jati Ulu Klang, semasa beliau menerajui BSKL, harga saham melambung berbanding sekarang. Masa itu harga saham melambung naik sehingga ada yang mencecah paras RM140 untuk kaunter-kaunter tidak terkenal berbanding harga saham sekarang yang lebih murah daripada harga roti canai, tidak meningkat lagi. Itulah zaman kegemilangannya.

3. Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar. Pada 1983, beliau menubuhkan secara rasminya Kumpulan Syarikat EMKAY yang menawarkan rumah mampu milik, terutamanya kepada pembeli rumah pertama, sehingga beliau digelar ‘Raja Rumah Mampu Milik’.

Setakat 2018, kumpulan itu telah membina lebih 60,000 unit kediaman, komersial dan ruang pejabat dengan keluasan 10 juta kaki persegi dengan nilai pembangunan RM20 bilion.

Ia juga berjaya menjual lebih daripada 35,000 unit kediaman dengan harga bawah RM100,000 termasuk di Damansara Damai dan Bandar Baru Sungai Buloh.

Sepanjang kariernya, beliau dikurniakan pelbagai jenis anugerah dan penghargaan termasuk daripada Yang di-Pertuan Agong pada 2002 dan daripada Raja Muda Perak pada 2003.

Sebenarnya, ramai lagi tokoh korporat Selangor yang hebat menabur jasa dan bakti kepada negara kita yang tercinta. Tiga tokoh ini cukup untuk memberikan semangat kepada anak Selangor menceburi bidang korporat.

Dengan Selangor Baharu, Selangor akan lebih maju dan berdaya saing di samping urus tadbir yang berkesan seiring pendekatan Bersih dan Stabil.

PAS NEGERI SELANGOR – HARAKAHDAILY 12/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -