
KOTA BHARU: Era kegemilangan Umno sudah lama berlalu. Dan lebih mengejutkan lagi apabila parti itu gagal memenangi sebarang kerusi di tujuh negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
Bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, situasi yang berlaku itu menggambarkan episod malang menimpa Umno di era pentadbiran parti berkenaan sekarang.
Katanya keadaan itu berlaku kerana kepimpinan Umno berusaha mencipta jajaran baharu ketika kerajaan Malaysia diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Strategi Presiden Umno ketika itu mengadakan pakatan sulit dengan pemimpin PKR dan DAP. Ia didedahkan Tan Sri Muhyiddin pada mesyuarat yang dihadiri pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Umno.
“Dato’ Seri Ahmad Zahid tidak menjawab isu tersebut dan selepas itu keluar daripada mesyuarat selepas surat pakatan sulit jajaran baharu bocor,” katanya pada ceramah Jelajah Ppakat Pertahan di Dataran Warisan perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.
Pada PRU lepas Umno dan Barisan Nasional (BN) gagal memenangi sebarang kerusi parlimen di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.
Annuar yang juga Pengerusi NGO Muafakat Nasional berkata, pemimpin Umno sanggup mendesak parlimen dibubar segera biarpun kerajaan dipimpin Naib Presiden Umno Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob ketika itu.
Menurutnya ekoran itu beliau hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan presiden Umno kerana sanggup bekerjasama dengan pemimpin yang tidak menjunjung Islam dan hak orang Melayu.
“Saya tidak sanggup melihat negara diketuai seorang pemimpin yang berfikiran liberal dan sosialis. Ekoran itu pada 1 Rejab lepas ketika berada di Makkah saya membuat keputusan untuk menyertai PAS.
“Saya rela tumpang kapal PAS sebagai penumpang kecil kerana parti itu istiqamah dalam perjuangan tanpa klu klek.
“Saya tinggalkan kereta berjenama kerana pemandunya tidak ada arah tuju,” katanya disambut tepukan dan laungan takbir orang ramai yang memenuhi Dataran Warisan.
Kata beliau dalam usia 67 tahun sekarang beliau perlu bersama perjuangan yang menjadikan Islam dan Melayu sebagai teras tanpa meminggirkan penduduk pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Oleh itu beliau mengajak ahli-ahli dan penyokong Umno memperbetulkan keadaan itu sebelum terlambat dengan memberi kemenangan kepada PN pada PRN di enam negeri tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 12/6/2023




















