
JAKARTA: Kereta api berkelajuan tinggi pertama Indonesia, yang ang menghubungkan Jakarta dan Bandung dijadualkan akan mula beroperasi pada 18 Ogos ini.
Seorang menteri kanan kabinet memberitahu demikian mengenai projek kereta api yang sebelum ini ditangguhkan, dikatakan telah melebihi bajet dan dibiayai oleh China.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia, Luhut Pandjaitan yang melawat Beijing baru-baru ini dilaporkan agensi berita, BenarNews.org sebagai berkata, China bagaimanapun telah berkeras untuk mengekalkan kadar faedah pinjaman projek, termasuk kos lebihan, pada 3.4 peratus, walaupun Indonesia meminta untuk menurunkannya kepada 2 peratus.
Perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi Jakarta-Bandung, yang merupakan projek utama Inisiatif Jalur dan Jalan China di Indonesia itu kini menelan kos AS$7.2 bilion (RM32.4 bilion), meningkat daripada anggaran awal RM27 bilion.
“Kami menjangkakan untuk mula beroperasi pada 18 Ogos 2023, sebagai hadiah ulang tahun ke-78 kemerdekaan Indonesia,” kata Luhut mengenai projek mega yang sebenarnya dijadualkan siap pada 2019 itu.
“Perkhidmatan percubaan akan dilancarkan bermula selewat-lewatnya pada akhir Mei ini dan ia adalah baik untuk diteruskan,” kata Luhut, sambil menambah bahawa beliau menjangkakan seorang pegawai tinggi China akan menghadiri pelancaran perkhidmatan kereta api itu.
Luhut berkata, kadar faedah bagi pinjaman projek itu adalah lebih rendah daripada purata 6 peratus yang dikenakan ke atas kebanyakan negara lain yang meminjam dari China untuk projek infrastruktur, sambil menambah bahawa Indonesia akan dapat membayarnya semula susulan ekonomi negara itu yang bertambah baik dan hasil cukainya yang meningkat.
“Tidak ada masalah (bayar kepada China). Mengapa anda meragui bangsa kita? Jangan perlekehkan bangsa kita,” tegasnya.
Luhut berkata bahawa kerajaan juga sedang berunding dengan China mengenai tempoh pinjaman dan tempoh tangguh untuk pembayaran balik yang boleh berkisar antara 30 hingga 40 tahun, manakala tempoh tangguh mampu mencecah antara 10 hingga 15 tahun.
Terdahulu, Presiden Jokowi Widodo telah berjanji untuk tidak menggunakan sebarang dana negeri bagi menjayakan projek berkenaan, tetapi kerajaan bersetuju pada 2021 untuk membiayai melalui suntikan modal sebanyak RM900 juta daripada kos yang melangkaui bajet asal tersebut.
Kerajaan Indonesia pada tahun lepas mencadangkan China Development Bank (CDB), yang membiayai projek itu, menanggung 75 peratus daripada kos yang berlebihan itu, dengan konsortium syarikat Indonesia dan China membiayai baki 25 peratus.
Laluan rel baharu itu dijangka mengurangkan masa perjalanan antara Jakarta dan Bandung kepada 34 hingga 45 minit daripada 2.5 jam dengan perkhidmatan kereta api biasa.
Projek berkenaan elah menghadapi beberapa kelewatan dan kontroversi, termasuk kritikan terhadap kesan alam sekitarnya, sejak ia dilancarkan pada 2016.
Perkhidmatan kereta api itu dijangka berjalan pada kelajuan 350 kilometer per jam di sepanjang laluan 142 km (88 batu).
Menurut Luhut, semua landasan telah disambungkan dengan panjang keseluruhan 304 km bagi kedua-dua belah pihak.
Luhut seterusnya berkata kerajaan terbuka untuk melanjutkan tempoh konsesi perkhidmatan rel, yang pada awalnya ditetapkan pada 50 tahun, selagi Indonesia kekal sebagai pemegang saham majoriti.
Beliau menegaskan bahawa projek pengangkutan awam biasanya tidak menguntungkan, tetapi ia akan memberi manfaat sosial kepada rakyat.
China membiayai projek di Indonesia sebagai sebahagian daripada Inisiatif Belt and Road (BRI), yang merupalan sebuah program pembinaan infrastruktur di seluruh dunia.
“Selain kereta api berkelajuan tinggi, Beijing juga komited untuk melabur dalam zon perindustrian hijau di Kalimantan Utara,” kata Luhut.
Beliau menambah bahawa Indonesia turut mengalu-alukan perkongsian dengan mana-mana negara asalkan ia berdasarkan kepercayaan dan manfaat bersama.
“Kami tidak mahu bergantung kepada sesiapa. Jika China mempunyai teknologi yang baik dan datang kepada kami, kami menerimanya,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/2023




















