
KUALA LUMPUR: Apabila Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan, cukai individu seharusnya diturunkan bagi mengelakkan rakyat ‘dihukum’ dan ‘diseksa’ dari pelbagai sudut demi kelangsungan hidup setiap bulan.
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata demikian, dalam cadangannya agar kerajaan membuat penyelesaian terbaik untuk rakyat dalam mengimbangi situasi ekonomi negara dan kos sara hidup yang kian meningkat.
“Kerajaan perlu membuat penilaian semula mengenai kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia pada 3 Mei lalu,” katanya.
Ini kerana apabila Jawatankuasa tersebut telah membuat keputusan untuk menaikkan kadar OPR kepada 3.0 peratus menyebabkan kadar siling dan lantai OPR masing-masing kini meningkat kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.
“Ini bermaksud negara kita telah menyaksikan kenaikan OPR untuk kali kelima berturut-turut, dengan menyamai OPR sebelum negara berdepan pandemik Covid-19.
“Persoalannya, adakah ekonomi negara kita dan isu sara hidup rakyat pada hari ini sudah pulih seperti tahun 2020, sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia?” ujarnya.
Menurut beliau, bagi kenaikan kadar OPR ia meliputi dua kesan terhadap individu peminjam iaitu pertama, tempoh pembayaran menjadi lebih panjang ataupun kadar pembayaran semakin tinggi.
“Rakyat tidak diberikan pilihan lain, yang mana pada masa ini mereka terpaksa membayar pinjaman yang tinggi dan berdepan situasi getir setiap bulan dengan kos sara hidup yang tinggi. Oleh itu, tindakan menaikkan OPR sememangnya tidak memberi rakyat pilihan yang baik.
“Dari sudut ekonomi pula, kenaikan OPR merupakan langkah yang dilaksanakan oleh Bank Pusat dalam menyeimbangkan semula pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya kepada HarakahDaily.
Shahir berkata, selain dapat membendung inflasi, OPR yang mengalami kenaikan secara tidak langsung juga akan mengukuhkan nilai Ringgit Malaysia. Namun begitu, berdasarkan statistik terkini, Inflasi Malaysia kekal 3.7 peratus pada Feb 2023.
“Ini bermakna, tindakan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia menaikkan OPR bakal menyebabkan rakyat kurang memepunyai wang atau pendapatan untuk berbelanja, dengan harapan kadar inflasi akan menurun.
“Dalam bahasa mudah, kesan daripada kenaikan OPR ialah segala pinjaman yang menggunakan kaedah ‘floating rate’ akan mengalami kenaikan bayaran bulanan.
“Apabila rakyat terpaksa bayar lebih kepada pihak bank, maka kuranglah wang untuk berbelanja,” kongsi beliau.
Beliau turut mempersoalkan, adakah perkara ini yang mahu dilaksanakan sekarang waktu rakyat tersepit?
“Apa pula terjadi dengan cagaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pinjaman bank?, soalnya.
“Amat menyedihkan sekiranya dividen KWSP yang diumumkan pada tahun hadapan tidak dapat menampung kadar OPR yang tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2023




















