Rakyat Kelantan minat bekerja sendiri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Memilih pekerjaan antara salah satu faktor yang menyebabkan kadar pengangguran masih tinggi di Kelantan pada Februari lepas iaitu 4.1 peratus.

- Advertisement -

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, Nora Yaacob berkata, data daripada Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan kadar pengangguran di Kelantan tinggi berbanding kadar pengangguran negara iaitu 3.6 peratus.

Kata beliau pihaknya mendapati ramai dalam kalangan rakyat negeri tersebut memilih kerja dan tidak sedia keluar dari Kelantan kerana mahu kerja di negeri sendiri.

“Kebanyakan rakyat Kelantan mereka minat bekerja sendiri secara tidak formal. Faktor ini juga menyebabkan kadar pengangguran tinggi iaitu 4.6 peratus pada Disember tahun lalu.

“Manakala pada Januari (4.4 peratus) dan Februari (4.1 peratus). Bagi mengurangkan pengangguran, kita cuba mengembalikan mereka kepada kerjaya yang formal.

“Kita bercadang untuk mendapatkan penempatan pekerjaan sebanyak mungkin untuk membantu golongan yang mahu bekerja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perkeso Kelantan di Wisma Perkeso di sini, semalam.

Menurutnya juga tahun ini pihaknya turut menyasarkan untuk mencapai sebanyak 6,800 bagi penempatan pekerjaan.

Malah katanya, pada tahun lalu juga pihaknya berjaya menempatkan seramai 5,500 individu yang bekerja. – HARAKAHDAILY 9/5/2023

- Advertisement -