Had umur bersara, impak masa depan rakyat

Shahir Adnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disyorkan agar membuat pertimbangan sewajarnya dalam menangani cadangan sesetengah pihak yang mahukan umur persaraan pekerja di negara ini dinaikkan kepada 65 tahun.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, kerajaan seharusnya perlu melihat kepada impak secara keseluruhan, termasuklah terhadap masa depan rakyat di negara ini. 

- Advertisement -

Beliau terpanggil untuk mengulas kenyataan Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D’angelus baru-baru ini yang mencadangkan agar had umur persaraan pekerja sama ada di sektor awam atau swasta dinaikkan sehingga umur 65 tahun daripada 60 tahun ketika ini, dengan syarat atas kerelaan pekerja dan tidak melibatkan pekerjaan secara kontrak.

Menurut Shahir, isu had usia persaraan telah dibangkitkan semula kerana keresahan segelintir pihak bahawa tabungan persaraan rakyat Malaysia tidak mencukupi bagi majoriti penduduk.

“Ia perlu dilihat melalui beberapa sudut. Antaranya, kerisauan kerana tabungan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kian menyusut dan kadar dividen KWSP juga dikatakan tidak begitu tinggi sejak negara dilanda penularan wabak Covid-19,” jelasnya.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi IKATAN Negeri Kelantan berkata, kenaikan kos sara hidup yang kian meningkat pada masa ini turut menyumbang kepada kerisauan dan keresahan rakyat di negara ini untuk meneruskan kelangsungan hidup disebabkan hasil tabungan hari tua mereka tidak mencukupi.

“Sekiranya kerajaan  bersetuju memanjangkan usia persaraan, ia sedikit sebanyak telah menutup ruang anak-anak muda atau graduan lepasan institusi pengajian tinggi awam atau swasta untuk masuk ke alam pekerjaaan, sekiranya tiada peluang pekerjaan baharu diwujudkan. 

“Peluang pekerjaan akan terbuka apabila ada kekosongan jawatan akibat persaraan. 

“Anak-anak muda terpaksa menunggu lagi lima tahun untuk masuk ke alam pekerjaan dek kerana tiada kekosongan jawatan,” tegasnya.

Justeru, beliau turut memberitahu bahawa ketika usia emas iaitu 65 tahun, ramai yang sudah mahu berehat dan fokuskan kepada urusan diri sendiri, bukannya masih terkejar-kejar dengan jadual kerja yang ketat. 

“Pada masa yang sama, dengan keadaan teknologi yang makin pesat berkembang, adalah agak kekok untuk mereka pada usia ini untuk belajar teknologi baharu. 

“Contohnya, jika dahulu jualan dibuat di kedai, kini mereka perlu membuat jualan dan kempen secara online di TikTok,” ujarnya. 

Oleh itu, menurut Shahir lagi, bagi mencari jalan penyelesaian terbaik kepada semua pihak, kerajaan perlu memberikan lebih banyak insentif kepada warga emas atau pesara. 

“Pada masa yang sama juga, kerajaan perlu menurunkan kos sara hidup agar semua pihak tidak terbeban dengan situasi kewangan semasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/4/2023

- Advertisement -