Bersara usia 65 tahun: Relevan atau tidak?

Shehdi Hazrik
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta agar mencari jalan penyelesaian kreatif dan saksama dalam isu membabitkan persaraan pekerja di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia (JAM), Shehdi Hazrik Shamsudin berkata demikian susulan kenyataan Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D’angelus  pada 9 April lalu mencadangkan agar had umur persaraan pekerja sama ada di sektor awam atau swasta dinaikkan sehingga umur 65 tahun; dengan syarat atas kerelaan pekerja dan tidak melibatkan pekerjaan secara kontrak.

- Advertisement -

Beliau berpendapat bahawa had umur persaraan 60 tahun masih dilihat relevan ketika ini dalam konteks sosial sekalipun mereka sudah bersara. 

Menurutnya, golongan warga emas masih mampu kekal produktif apabila mereka dilibatkan dalam gerak kerja seperti badan bukan kerajaan (NGO), badan sukarelawan dan kebajikan masyarakat dengan memperolehi pendapatan tertentu.

“Sementara dalam bidang kerja profesional pula, mereka masih diperlukan untuk bekerja atas faktor mempunyai kemahiran tinggi.

“Jika mereka mahu bekerja, maka mereka boleh terus bekerja, namun ia bukanlah satu ketetapan atau mandotari. 

“Namun begitu, tidak mustahil juga akan wujud masalah penganguran dalam kalangan anak muda dan lepasan institusi pengajian tinggi awam atau swasta untuk mendapatkan pekerjaan,” jelasnya. 

Beliau berkata, cadangan supaya had usia bekerja bagi sektor swasta dan kerajaan dilanjutkan kepada had umur 65 tahun sekali lagi mencetuskan perdebatan pelbagai pihak.

“Ini berikutan, pada 10 tahun lalu, cadangan yang sama pernah diutarakan sebelum ini supaya pihak kerajaan meningkatkan had umur persaraan daripada 60 tahun kepada 65 tahun,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Namun begitu, Shehdi turut memberitahu bahawa Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) masih menyatakan umur persaraan tidak wajar dinaikkan atas alasan generasi muda akan hilang peluang pekerjaan terutama graduan dan pasaran pekerjaan akan terus mengucup.

Tambah beliau, terdapat beberapa hujah menyokong dan menentang sekiranya langkah terbabit dilaksanakan.

“Antaranya daripada aspek pertimbangan mikro ekonomi yang melibatkan pelbagai teori seperti kekuatan sumber tenaga pakar, tenaga pekerja mahir dan tahap pendidikan negara,” jelasnya.

Sementara dari aspek makro ekonomi pula, ujat beliau lagi, ia  perlu difokuskan kepada sejauh mana pencapaian guna tenaga penuh yang ada, kadar pengangguran negara dengan melihat kesan pelaksanaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi memastikan pendapatan negara dan taraf hidup masyarakat meningkat.

Beliau turut berkata, sebagaimana kita sedia maklum bahawa had persaraan negara kita sudah mengalami tiga kali perubahan dalam tempoh 20 tahun lepas. 

“Perubahan pertama berlaku pada tahun 2001 di mana had usia persaraan penjawat awam dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun.

“Kemudian pada tahun 2008, had usia persaraan ditambah daripada 56 tahun kepada 58 tahun dan terakhir pada 10 tahun lepas (2012) dinaikan daripada 58 tahun kepada 60 tahun,” kongsinya.

Tambah beliau, justeru bagi negara-negara maju, seperti Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, negara-negara Eropah termasuk United Kingdom, Jerman, Itali dan juga negara Asia seperti Jepun dan yang terdekat, Singapura –  kesemuanya telah meletakkan umur bersara wajib antara 65 ke 67 tahun.

Antara hujah mereka yang menyokong kenaikan had umur bersara kepada 65 tahun adalah pertama, bancian daripada Bahagian Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jangka hayat global bagi kedua-dua jantina telah meningkat kepada 71.7 tahun pada 2022. 

Kedua, peningkatan jangka hayat di Malaysia meningkat daripada 52.8 tahun kepada 76.51 tahun dan tempoh tersebut adalah tempoh sukar untuk menyara diri dari selepas bersara.

Seterusnya aspek demografi telah mempengaruhi kebimbangan Malaysia akan menjadi negara warga tua teramai dan seterusnya memberi kesan kepada sosio-ekonomi seperti peningkatan kos penjagaan kesihatan dan keselamatan sosial mengikut faktor usia.  

Perlanjutan umur persaraan ini turut membantu golongan ini mendapat gaji berpatutan, mempunyai keupayaan berbelanja lebih, mewujudkan rangsangan untuk pertumbuhan ekonomi dan dapat mengurangkan tekanan ekonomi pada diri mereka serta negara secara keseluruhannya.

Para majikan juga akan mendapat manfaat kerana mempunyai akses kepada tenaga kerja yang berpengalaman untuk jangka masa lebih lama dan mempunyai alasan minima untuk mengadu mengenai kekurangan tenaga kerja mahir dan berpengalaman.

Namun begitu, Shehdi berkata, kadar caruman Simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dilaporkan masih dalam keadaan kritikal dan pertambahan caruman bagi usia 60 tahun ke atas dapat membantu mereka semasa bersara penuh.

“Namun begitu, di sini kita dapat lihat hampir keseluruhan negara-negara Asia Tenggara kecuali Singapura sebenarnya masih mengekalkan had umur bersara wajib antara 55 ke 60 tahun,” ujarnya. 

Shehdi turut memberitahu bahawa, bagi negara-negara yang tidak menaikkan kadar persaraan, mereka berpendapat bahawa adalah tindakan relevan bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan di pasaran negara. 

“Platform media sosial telah mengubah kehidupan dan aktiviti harian rakyat di negara dan ia telah pun berkembang ke industri sumber manusia dengan pantas, dan secara tidak langsung memberi kesan kepada tahap kekurangan kemahiran warga emas yang mencapai umur 60 tahun ke atas. 

“Majikan kini mempunyai saluran tambahan untuk mencapai objektif mereka dengan jangka masa yang lebih pendek dan perbelanjaan perjawatan yang lebih seimbang.

“Isu kesihatan mental di tempat kerja bagi warga berusia semakin meningkat akibat beban kerja melampau, selain tempoh masa bekerja yang panjang, kurangnya kawalan, kerja rutin, konflik antara individu, kurangnya ganjaran dan masalah organisasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/4/2023

- Advertisement -