Umno terpaksa rayu kerusi selamat dari PH

- Advertisement -

MENURUT laporan FMT besar kemungkinan DAP dan PKR akan korbankan beberapa kerusi ‘selamat’ mereka untuk ditandingi Umno di Selangor dalam PRN Selangor ke-15.

Khabarnya kerusi-kerusi Sungai Pelek, Kota Kemuning, Dusun Tua dan Dengkil yang merupakan kerusi campuran Melayu dan Cina akan dipertimbang untuk ditandingi Umno.

Umno sejak berkawan dengan PH khasnya DAP nampaknya terpaksa meletakkan dirinya begitu rendah sehingga sanggup menyembah rayu untuk dapatkan kerusi selamat.

Satu ketika dahulu Umnolah yang paling perkasa di negeri ini, melahirkan tokoh Melayu terbilang seperti Dato’ Harun Idris, Zaleha Ismail, Rahmah Osman, Abu Hassan Omar.

Malang hari ini semua telah tergadai sehingga mengemis hidup atas ihsan bukan-Melayu.

Mungkinkah Umno sudah tidak yakin pada sokongan Melayu?

Kecundang di kerusi-kerusi majoriti Melayu di Sabak Bernam, Sg Besar, Tg Karang dan Kapar baru-baru ini barangkali menjadi isyarat bahawa masa depan mereka ternyata gelap di negeri ini.

Kebetulan 4 dari kerusi DUN yang Umno pegang hari ini duduk bawah kerusi Parlimen yang PN tawan itu.

Jika ‘gelombang hijau’ yang mengangkat PN menjuarai undi Melayu termasuk anak-anak mudanya berterusan, Umno ternyata akan hilang sokongan teras Melayunya, mungkin kerana itulah terpaksa melutut pada DAP dan PKR untuk kerusi selamat.

Laporan ini jika benar ianya memberi isyarat pada umat Melayu Selangor bahawa perjuangan memartabatkan agama dan bangsa di Selangor hanya boleh diharapkan pada PAS dan BERSATU sahaja, tidak lagi Umno.

Bangkitlah umat Melayu bersama ‘gelombang hijau’ pertahankan maruah agama dan bangsa kita. PN Best.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha Perhubungan
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 10/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -