
KUALA LUMPUR: Lambakan kenderaan ‘piang’ di negara ini menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh dijual dalam pelbagai platform media sosial menjadikannya senang diakses oleh orang ramai.
Senator Musoddak Ahmad berkata, kenderaan ‘piang’ menyebabkan kesukaran proses pertukaran hak milik kerana ketiadaan pemilik asal yang sah dan berdaftar.
“Apa yang menjadi kebimbangan kita adalah kerana lambakan kenderaan ‘piang’ yang tidak boleh ditukar hak milik sepenuhnya, dan ada kes melibatkan pemilik asal yang sudah pun meninggal dunia.
“Jadi, apakah pindaan yang dikemukakan ini turut meneliti lambakan kenderaan ‘piang’ yang dijual?” soal beliau semasa perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan 1987 di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Menurutnya, rakyat perlu sedar walaupun kenderaan ‘piang’ jauh lebih murah tetapi risiko kenderaan ini tetap tinggi.
“Apakah kementerian ada meletakkan satu mekanisme untuk mengawasi penjualan kenderaan piang yang mempunyai masalah pertukaran hak milik ini?
“Kita harus sedar risiko pembelian kenderaan ini tetap tinggi walaupun harga jauh lebih murah; walaupun kebanyakannya digunakan untuk kegunaan tidak rasmi seperti pergi ke kebun ataupun jalan-jalan di kampung dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/4/2023




















