Pengadil Mexico, Fernando Hernandez digantung 12 perlawanan

Fernando Hernandez menusuk lututnya ke pangkal paha pemain Leon, Lucas Romero dalam kejadian pada Ahad, 2 Mac 2023. (FOTO: Goal.com)
- Advertisement -

MEXICO CITY: Pengadil Mexico, Fernando Hernandez telah digantung selama 12 perlawanan selepas menusuk lututnya ke pangkal paha seorang pemain semasa perlawanan liga Mexico menyaksikan Amerika  menentang Leon dalam kejadian pada Ahad lalu.

Hernandez melakukan perbuatan itu ke atas pemain Leon, Lucas Romero ketika Romero dan rakan sepasukannya dengan marah menuntut semakan pembantu pengadil video selepas gol penyamaan Amerika dalam keputusan seri 2-2, lapor CNN.

- Advertisement -

Romero turut dikenakan penggantungan dua perlawanan susulan kejadian tersebut.

“Kepada peminat dan orang ramai secara amnya, saya memohon maaf, dan juga kepada Lucas Romero, atas tindakan saya itu,” kata Hernandez.

“Saya tidak akan menyerangnya atau mana-mana pemain lain selepas ini. Saya sedar perkara ini dan saya akan akur dengan keputusan Suruhanjaya Tatatertib,” tambahnya.

Fernando Hernandez dan Lucas Romero bertelagah sejurus sebelum kejadian yang menyebabkan kedua-duanya diigantung perlawanan dalam Liga Mexico.

Sementara selepas perlawanan itu, Romero berkata  bahawa dia tidak meminta  Hernandez untuk dihukum dan ia adalah salah faham.

“Jelas sekali (pengadil) adalah manusia, banyak kali mereka boleh melakukan kesilapan dan kesilapan itu akhirnya menyebabkan apa yang berlaku ini, banyak salah faham,” kata pemain Argentina itu kepada penyiar Mexico, TUDN.

Leon dan Amerika masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat dalam liga Mexico itu yang turut menyaksikan kejadian hangat apabila ketua jurulatih Fernando Ortiz dan Nicolas Larcamon dibuang padang semasa perlawanan tersebut kerana bertelagah sesama sendiri di garisan tepi.

Imej Nicolas Larcamon yang bajunya terkoyak selepas bertumbuk di tepi padang perlawanan tular di media sosial. (FOTO: Sopitas.com)

Imej jurulatih Leon, Larcamon dengan bajunya koyak selepas bertumbuk dengan seorang pemain simpanan Amerika tersebar di media sosial selepas perlawanan.

Kedua-dua pengurus itu masing-masing telah dikenakan penggantungan dua perlawanan. – HARAKAHDAILY 6/4/2023

- Advertisement -