
POSTING inilah yang didapati saya bersalah oleh mahkamah dan diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 oleh Mahkamah Tinggi (+RM15,000 kos) dan kemudian dinaikkan kepada RM120,000 oleh Mahkamah Rayuan kerana RM50,000 didapati terlalu rendah oleh plaintif. Mereka membuat ‘counter appeal’ untuk tuntut lebih tinggi.
Sebagai ahli dan pimpinan PAS serius dengan usaha membanteras kegiatan perjudian di Kedah, sebaik mengambil alih kerajaan sejak 17 Mei 2020, maka satu langkah besar dibuat mulai tahun 2021-2022 untuk memberhentikan pengeluaran lesen premis perjudian di seluruh Kedah, apabila lesen sedia ada tamat beransur-ansur dari 2021 sehingga Disember 2022.
Mulai Januari 2023, tiada lagi premis perjudian berlesen di seluruh Kedah, selari dengan keseriusan PAS menghentikan kegiatan yang merosakkan seluruh masyarakat di negeri ini.
Adapun jika didapati terdapat premis judi tanpa lesen (premis haram) wujud di mana-mana tempat di Negeri Kedah, pihak PDRM dan PBT telah dan akan melaksanakan operasi membanteras perjudian selari dengan peruntukan undang-undang.
Inilah yang dimaksudkan dengan tidak main-main atau ambil mudah dengan judi. We walk the talk…
Apabila sudah didapati bersalah dengan posting ini, menjadi tanggungjawab saya untuk melunaskan tuntutan mereka. Saya akan berusaha membayar berapapun harganya.
Mengambil mudah atau mengendurkan tekad perjuangan hanya kerana kepentingan politik, takut hilang sokongan atau membiarkan rakyat negeri ini terjebak menjadi kaki judi, tidaklah sekali sekali… wallahua’lam.
YAB DATO’ SERI MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 4/4/2023




















