
HASRAT untuk menjaga anak bangsa dari terus ketagih Nikotin nampaknya semakin samar.
Keterdesakan kerajaan madani untuk mengaut keuntungan melalui cukai Nikotin sehingga sanggup membuat keputusan mengeluarkan Nikotin dari Akta Racun 1952 adalah satu tragedi buat negara.
Walau telah dinasihat dan dilarang oleh Lembaga Racun Negara, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Kementerian Kesihatan nampaknya lebih memilih untuk memenuhi kehendak Kementerian Kewangan merangkap Perdana Menteri berbanding risiko kesihatan yang akan ditanggung.
Yang lebih mendukacitakan, keputusan ini dibuat tanpa kerajaan terlebih dahulu meluluskan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok.
Keputusan dangkal kerajaan ini menjadikan Nikotin boleh dibawa masuk tanpa kawalan. Pengusaha vape yang ‘profesional’ mahupun yang ‘kaki lima’ kini boleh bertindak sesuka hati bagi memajukan perniagaan mereka.
Kesannya pula perlu ditanggung oleh seluruh rakyat Malaysia. Bersediakah kita untuk melihat anak-anak remaja ini membesar di zaman ketagihan Nikotin? Adakah ini yang menjadi hasrat kerajaan madani?
Demi anak bangsa, kerajaan perlu menimbang semula keputusan yang dibuat. Tangguhkan pelaksanaan cukai cecair vape sehingga wujudnya suatu akta dan peraturan untuk mengawalnya.
Jangan dikuburkan usaha Generation End Game (GEG) yang digerakkan kerajaan sebelum ini. Kesihatan awam adalah jauh lebih penting daripada keuntungan wang ringgit!
KAMI ARIF BAIHAGI
Pengerusi SiswaPAS Malaysia – HARAKAHDAILY 4/4/2023











