Sinar Kasih Ramadan ringankan beban asnaf

- Advertisement -

KUNAK: PAS Lahad Datu akan berusaha membantu seramai mungkin asnaf dan golongan yang memerlukan sempena bulan Ramadan ini.

Yang Dipertua PAS Lahad Datu, Ramli Pataruddin berkata, terdapat beberapa misi yang dirancang dalam Program Sinar Kasih Ramadan bagi membantu meringankan beban asnaf di sekitar kawasan Kunak dan seluruh kawasan Parlimen Lahad Datu.

- Advertisement -

“Saya mengharapkan semoga masyarakat sudi menyokong dan membantu program seumpama ini dengan menginfak dana.

“Kepada penerima, jangan merasa malu kerana kita semua hanya berkongsi rezeki kurniaan Ilahi,” ujarnya kepada HarakahDaily.  

Seramai sepuluh keluarga asnaf serta ibu tunggal sekitar Kampung Sungai Atas dan Kampung Pangi telah menerima sumbangan PAS Lahad Datu yang berupa bakul makanan berbentuk beras dan bahan mentah keperluan dapur. 

Sumbangan telah disampaikan oleh Ramli dan Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Lahad Datu, Nur Faizan Suardi. – HARAKAHDAILY 3/4/2023

- Advertisement -