
KUALA LUMPUR: Isu Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, didakwa dihalang menghadiri sebarang program anjuran Kerajaan Persekutuan berkumandang di Dewan Negara.
Perkara itu dibangkitkan oleh Senator Abdul Nasir Idris ketika perbahasan Belanjawan 2023 yang menggesa pentadbiran negara dilaksanakan secara adil tanpa mengira agama, warna kulit serta ideologi politik
“Kita tidak mahu ada pilih kasih dan ada pihak yang disisihkan. Dalam hal ini, saya nak minta penjelasan pihak kerajaan tentang Menteri Besar Kedah.
“Sebagai tuan rumah, dia diketepikan dalam program Kerajaan Persekutuan di Langkawi, apakah alasan pihak kerajaan bagi, kita nak dengar penjelasan,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Menteri Besar itu dalam media sosialnya sebelum ini mendakwa dirinya sebagai tuan rumah dihalang daripada menghadiri sebarang program anjuran Kerajaan Persekutuan.
Ini termasuk menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 27 Mei depan. – HARAKAHDAILY 3/4/2023




















