
LONDON: Umur perkahwinan yang sah di United Kingdom kini ditingkatkan daripada 16 kepada 18 tahun di bawah undang-undang baharu.
Di bawah undang-undang yang diluluskan pada tahun lalu tetapi mula berkuat kuasa pada hari ini (27 Feb), remaja berusia 16 dan 17 tahun tidak lagi boleh berkahwin atau memasuki perkongsian sivil di England atau Wales, lapor Daily Mail. co.uk.
Perubahan itu, di bawah Akta Perkahwinan dan Perkongsian Sivil (Umur Minimum) adalah bertujuan untuk melindungi kanak-kanak daripada perkahwinan paksa, termasuk upacara ‘tradisiona’’ yang tidak mengikat secara sah.
Ia bermakna di UK kini adalah satu jenayah untuk mengeksploitasi kanak-kanak dengan mengatur agar mereka berkahwin dalam apa jua keadaan, sama ada kekerasan digunakan atau tidak; dan undang-undang itu juga akan meliputi upacara tradisional yang tidak mengikat secara sah yang masih akan dilihat sebagai perkahwinan oleh ahli keluarga mereka.
Perundangan itu telah disifatkan sebagai ‘lompatan besar ke hadapan’ dalam memerangi ‘penderaan tersembunyi’ terhadap perkahwinan paksa dalam kalangan kanak-kanak.
Pengarah badan amal Karma Nirvana, Natasha Rattu berkata, dia berharap undang-undang baharu itu akan membantu meningkatkan pelaporan tentang perkahwinan paksa; dan memberikan perlindungan yang lebih kepada golongan kanak-kanak yang berisiko menjadi mangsa.
“Sepanjang tahun lepas, talian bantuan Penyalahgunaan Berasaskan Kehormatan negara menerima aduan sebanyak 64 kes perkahwinan kanak-kanak, yang sebenarnya hanya mewakili gambaran kecil tentang masalah yang lebih besar.
“Kami berharap bahawa undang-undang baharu akan membantu meningkatkan terhadap pendedahan dan pelaporan mengenai perkahwinan paksa dalam kalangan kanak-kanak, dan memberikan perlindungan yang lebih efektif kepada mereka,” tambahnya.
Unit perkahwinan paksa kerajaan UK sebelum ini dilaporkan telah memberi nasihat atau sokongan terhadap 118 kes melibatkan mangsa kahwin paksa yang berumur dibawah 18 tahun pada tahun 2021.
Kementerian Kehakiman berkata statistik menunjukkan perkahwinan paksa lebih berkemungkinan memberi kesan kepada kanak-kanak perempuan berbanding lelaki, yang merujuk kepada data 2018 untuk England dan Wales menunjukkan bahawa hanya 28 lelaki berkahwin di bawah umur 18 tahun berbanding 119 perempuan. – HARAKAHDAILY 27/2/2023




















