‘Polis Moral’: DAP parti rosak dan perosak

Kuasa politik diperalat untuk 'lindungi' kegiatan rahsia?

- Advertisement -

DAP sering kali menyerlahkan sikap prejudis dan skeptikal terhadap usaha atau cadangan untuk meluruskan tingkah laku masyarakat ke arah yang lebih baik dan positif atau madani. Pimpinan parti itu dilihat begitu paranoid setiap kali disuarakan perkara tersebut sekalipun ianya diungkapkan sebagai nasihat atau teguran.

Mereka akan bingkas meluru secara melulu dan emosi menyinga menempelak sesiapa sahaja yang menyentuh mengenai masalah-masalah berkenaan. Terutama isu peminum atau jualan arak, aktiviti perjudian dan kelab malam, perlakuan sosial songsang, ketertiban berpakaian serta lain-lain norma yang perlu diperbetulkan. 

Pimpinan DAP seperti menunjukkan mereka begitu berkuasa atau memiliki perkara-perkara tersebut di mana ia adalah ‘sempadan merah’ tidak boleh dimasuki orang lain. Bagaikan gangster, mereka akan memberi reaksi kepada sesiapa sahaja yang melintasi isu ini di mana selalunya dengan amaran dan gelaran ‘Polis Moral’.

Reaksi sedemikian hakikatnya telah membuka topeng yang menyembunyikan wajah sebenar atau sikap hipokrit parti cauvinis dan ultra kiasu itu. Malah, mungkin menunjukkan banyak perkara bersifat ‘perlindungan’ yang diberikan DAP serta perolehan ‘hasil’ diterimanya daripada pihak-pihak berkepentingan.

Setidak-tidaknya mendapat manfaat politik berupa sokongan undi daripada ‘kelompok atau komplot’ terbabit atas jasa mempertahan atau mengawal hal berkenaan. Sungguhpun perkara itu begitu tidak harmoni, canggung, luar biasa atau bertentangan daripada penerimaan oleh majoriti rakyat, hatta undang-undang.

Stigma pemimpin DAP

Sinikal ‘Polis Moral’ oleh pemimpin DAP menggambarkan betapa parti itu seolah-olah tidak menyenangi, bahkan seperti memiliki stigma terhadap polis dan moral. Jika benar demikian, ia boleh dikatakan sebagai petunjuk kepada ‘salah dan masalah’ yang wujud dalam kalangan pemimpin dan parti DAP itu sendiri.

▪︎Polis

Polis atau penguat kuasa seumpamanya; akan selalu dihindari, ditakuti dan digeruni, bahkan dibenci dan dimusuhi – hanya oleh mereka yang melakukan kesalahan. ‘Pesalah’ malah lazimnya akan menanamkan ke benak pihak lain momokan buruk dan jahat bersifat tuduhan dan fitnah terhadap polis atau penguat kuasa.

Sedangkan polis atau penguat kuasa manapun, mereka adalah pelaksana kepada pematuhan undang-undang; yakni bertugas menurut garis peruntukan termaktub. Bukan menjadi raksasa atau hantu, apatah juga melakukan sesuatu secara sewenang-wenangnya yang menyebabkan penganiayaan kepada sesiapapun.

Polis dan penguat kuasa wajib menjamin dan memastikan setiap undang-undang atau peraturan sentiasa dipatuhi secara disiplin yang saksama lagi adil oleh sesiapa juga. Ketegasan mereka dalam melaksanakannya merupakan moral dan integriti tertinggi yang sewajarnya dihormati dan disanjungi.

Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, mereka tidak patut dilihat sebagai ‘keras dan ketat’ kerana tugas polis atau penguat kuasa juga hakikatnya meliputi banyak peranan. Mereka sebenarnya mempermudah, membantu dan melancarkan rutin am serta kegiatan masyarakat atau urusan setempat.

Termasuk mengurus, menyelia dan mengatur segala mobiliti dan mobalisasi berprofil tinggi hinggalah individu rakyat yang berkeperluan. Paling besar, mereka bertindak memantau, menjaga dan mengawal bahkan melindungi keselamatan, ketenteraman, keharmonian dan kepentingan semua. 

Oleh itu, keberadaan anggota atau pasukan penguat kuasa dalam masyarakat sangat penting sekali gus menjadi ‘orang tengah’ antara rakyat dengan pemerintah. Iaitulah dalam menjayakan tadbir urus dan bersiaga terhadap kemungkinan serta mencegah atau mengurangkan segala risiko.

▪︎Moral

Moral secara umumnya adalah kewajiban atau kebertanggungjawaban seseorang mahupun secara beramai-ramai kepada suatu disiplin tingkah laku diri sendiri atau kelompok. Ianya hasil penerimaan terhadap sesuatu nilai etika hingga menjadi kepercayaan, perwatakan dan amalan.

Lazimnya, moral itu wujud atau terbentuk oleh asuhan atau didikan ibu bapa dan guru, atau daripada ketetapan atau keseragaman peraturan atau undang-undang. Selain lahir atau terbangun daripada interaksi seseorang dalam kumpulan atau pengaruh lingkungan persekitaran ia terlibat.

Oleh itu, moral dapat meliputi atau mewakili hal berkenaan pemikiran, kefahaman, perbicaraan, kebiasaan, norma, identiti, personaliti, prinsip, tatacara dan lain-lain. Di mana tentunya boleh terserlah daripada individu, keluarga, persatuan, masyarakat, agama, bangsa, mahupun negara. 

Jika baik, ia dikatakan ‘bermoral’ di mana selalunya juga beriringan sama dengan sifat atau ciri yang harmoni, tenang, fokus, teratur, yakin, patuh, benar dan positif lainnya. Tetapi sekiranya buruk, ia disebut ‘tidak bermoral’ yang sering terkait dengan pelbagai huru-hara, gopoh, bebal, ingkar, jahat dan setiap hal negatif.

Inilah wajah sebenar DAP

Maka, ejekan ‘Polis Moral’ oleh pimpinan DAP sebenarnya boleh difahami sebagai isyarat kecenderungan atau sikap parti itu terhadap polis dan moral itu sendiri. Iaitu seolah-olah wujud pandangan serong, tidak percaya, bahkan mungkin benci kepada ‘Polis Moral’ dan juga polis serta moral.

Di Malaysia bahkan negara lain di seluruh dunia, sikap berseteru dengan polis atau penguat kuasa dan perangai tidak bermoral merupakan satu simbiosis. Mereka akan boleh bersama dan saling melengkapi, hatta ‘berkomplot’ menghadapi penguat kuasa dan kesalahan moral atau jenayah dihadapi.

Di negara ini, tiba-tiba ‘perpaduan’ dijalin antara parti anti Melayu-Islam dengan parti kleptokrat, perompak, penyamun dan pencuri serta parti lunak agenda songsang dan liberal. Mereka tidak segan silu untuk menipu rakyat dan cuba merasionalkan pelbagai alasan serta kebohongan.

Politikus seperti ini hanya gembira jika penguat kuasa menjadi ‘Pak Turut’ hingga sewenangnya boleh diherdik atau dimaki hamun mengikut telunjuk nafsu mereka. Paling mereka suka jika penguat kuasa tidak bermoral atau menculaskan penguatkuasaan kerana boleh diugut, dirasuah serta dimanipulasi atau diperalat. 

Pakatan dan pengkhianatan seumpama ini tentulah bagi melicinkan lagi kegiatan atau saling menutup kesalahan yang dilakukan. Tidak pelik jika mereka bersikap hipokrit dan bermuka-muka, apatah lagi menyimpang atau menyeleweng dari tanggungjawab atau ketetapan undang-undang.

Kegiatan di sebalik kuasa

Kerana mereka yang seperti itu biasanya mempunyai ‘sisi gelap’ pada peribadi dan aktiviti rutin dilakukan adalah secara rahsia. Mereka malah akan saling ‘melindungi dan membiayai’ sesama sendiri menggunakan kedudukan jawatan atau kuasa serta kekayaan dari perolehan hasil yang dikawal.

Laporan media kerap mendedahkan, di sebalik pelanggaran undang-undang melibatkan aktiviti kelab malam dan kasino serta jualan alkohol, terselindung pelbagai jenayah. Antaranya sindiket dadah, pelacuran, pemerdagangan manusia, penipuan atas talian, kongsi gelap dan lain-lain lagi.

Mereka juga mengukuhkan ‘cengkaman’ atas sesuatu penguasaan secara membolot dan merakusi; dengan melantik jawatan sesama sendiri (kronisme dan nepotisme). Bahkan undang-undang pula digubal, dipinda atau diluluskan bagi melindungi kepentingan atau mencapai agenda sempit mereka.

Bahayanya, kegiatan tersembunyi mereka itu tentu sekali tidak cuma menyebabkan kepincangan, pemerdayaan, penindasan serta pelbagai masalah yang membejat. Tetapi juga menyanggah hak, keharmonian, kesejahteraan, ketenteraman dan keamanan serta kedaulatan agama, bangsa dan negara.

Beringatlah, DAP sebenarnya parti yang rosak moral kerana tiada taat setia kepada dasar dan hala tuju yang selari Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Bahkan DAP juga adalah parti perosak kerana menggugat serta mengancam tonggak-tonggak penting yang merupakan ‘moral dan polis negara’.

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 22/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -