Rakyat Malaysia sedang menilai

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
- Advertisement -

TERLEBIH dahulu saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada para pengundi P.044 Permatang Pauh yang telah memilih Perikatan Nasional buat kali pertamanya untuk mewakili suara rakyat Permatang Pauh untuk dibawa ke Dewan Parlimen yang mulia ini. Ini merupakan suara majoriti rakyat yang mahukan perubahan dan ia akan kekal menjadi suatu kenangan manis yang akan tersemat dalam lipatan sejarah Malaysia.

- Advertisement -

Permatang Pauh merupakan sebuah kawasan di Seberang Perai yang menjadi laluan penghubung utara ke selatan tanah air, timur ke barat serta negeri- negeri sekitar. Oleh sebab ia merupakan laluan utama, maka sudah pasti berlaku kesesakan lalu lintas sepanjang lebuh raya di Permatang Pauh termasuklah lebuh raya Seberang Jaya, Jalan Baru dan beberapa jalan utama yang berhampiran. Ia akan bertambah sesak setiap kali khususnya di waktu puncak. Purata kenderaan yang melalui Jalan Baru sahaja iaitu lebih kurang 66,840 buah setiap hari. Manakala laluan Permatang Pauh, Tok Kandu dan Bulatan Bukit Tengah hampir 17,672 buah kenderaan setiap hari yang menyebabkan kesesakan sehingga ke lebuh raya Seberang Jaya. Saya ingin bertanya apa perancangan kerajaan terhadap isu kesesakan yang luar biasa ini kerana rakyat yang menggunakan laluan ini sudah sangat penat dengan permasalahan ini.

Adakah kerajaan bercadang untuk mewujudkan laluan berbeza antara pengguna domestik dan pengguna lebuh raya atau kerajaan bercadang mewujudkan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan ini? Saya juga ingin mencadangkan untuk pertimbangan agar disegerakan pelaksanaan projek menaiktarafkan laluan Persekutuan FT311 dari jejambat Bukit Tengah ke persimpangan Lebuhraya Butterworth-Kulim yang mana telah diangkat di dalam RMKe-12 dan masih menunggu kelulusan di peringkat EPU. Mohon pihak kerajaan menyatakan apakah status pelaksanaan bagi projek menaiktarafkan ini. Di samping itu, apa rancangan pihak kerajaan untuk menaiktarafkan laluan-laluan lain di Permatang Pauh selaras dengan peningkatan jumlah kenderaan dan perumahan yang semakin pesat di sana.

Saban tahun apabila tiba musim tengkujuh, beberapa kawasan di Parlimen Permatang Pauh pasti dilanda banjir. Selain banjir kilat, hujan lebat ditambah dengan air pasang pasti akan menjadikan rakyat Permatang Pauh bimbang dan bersusah hati, apatah lagi permasalahan ini sudah berlarutan begitu lama. Ditambah pula dengan pembangunan yang semakin pesat pasti akan memberikan kesan yang lebih buruk lagi.

Saya ingin memohon kepada pihak kerajaan agar menyegerakan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Prai yang insya-Allah akan memberikan manfaat kepada penduduk Permatang Pauh yang sudah lama berhadapan dengan masalah kerosakan harta benda akibat banjir. Saya memohon pihak kerajaan mengambil perhatian dengan segera tentang isu ini. Apatah lagi Permatang Pauh sudah hampir 40 tahun berada dalam legasi keluarga Yang Amat Berhormat Tambun, jadi sudah pasti ia dalam makluman Yang Amat Berhormat.

Permatang Pauh juga mengharapkan pihak kerajaan mengambil berat tentang isu-isu lain di Permatang Pauh. Kebanyakan isu yang dibangkitkan oleh semua wakil rakyat tentang apa yang dihadapi di kawasan masing-masing seperti isu fasiliti sekolah, hospital, klinik kesihatan, balai-balai polis, jalan raya banjir dan sebagainya ia juga dialami di kawasan Permatang Pauh. Jadi, Permatang Pauh mengharapkan ia dapat diuruskan dengan wajar. Isu-isu lain insya-Allah saya akan sentuh dalam perbahasan bajet nanti.

Isu kemampuan pemilikan rumah pertama bagi golongan belia sentiasa menjadi isu kritikal sebelum pandemik apatah lagi selepas pandemik. Pendapatan rata-rata belia pada hari ini berada pada paras yang rendah dengan pendapatan pada ketika ini majoriti belia muda hari ini sudah tidak mampu beli rumah yang rata-rata harga rumah mampu milik sudah berharga sehingga sekitar RM320,000. Lebih malang lagi apabila berlakunya lonjakan 20 peratus kenaikan harga rumah ekoran peningkatan harga bahan binaan.

Justeru izinkan saya untuk mengemukakan beberapa cadangan solusi bagi permasalahan ini:

(i) kerajaan boleh berusaha untuk mengawal harga rumah dengan cara mengambil alih sebahagian besar tender-tender kontraktor pembinaan rumah;

(ii) kerajaan perlu melaksanakan pembiayaan musyarakah mutanaqisah atau pemilikan bersama yang membolehkan pembeli berpotensi memiliki rumah berkenaan selepas satu tempoh tanpa melibatkan unsur faedah atau riba; dan

(iii) kerajaan boleh menimbangkan penambahbaikan terhadap skim rent-to-own ditawarkan pada masa ini dengan memberi pilihan kepada pembeli iaitu rent-to-own atau rent-to-buy.

Ekonomi negara sekarang berada dalam keadaan yang kurang baik. Kos sara hidup juga semakin meningkat sehingga menghimpit golongan B40 termasuk golongan belia. Pihak kerajaan perlu berusaha untuk mencari sumber pendapatan baharu agar hasil negara bertambah khususnya bagi membantu golongan ini. Dalam usaha meningkatkan kos sara hidup rakyat, meningkatkan kemampuan berbelanja bagi golongan B40 termasuk belia. Permatang Pauh mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan satu bentuk cukai yang baharu.

Walaupun Yang Amat Berhormat Tambun mengatakan tidak mahu perkenalkan cukai tetapi Permatang Pauh mencadangkan supaya diperkenalkan satu bentuk cukai yang baharu yang hanya dikenakan kepada golongan kaya dan berkemampuan iaitu cukai atas simpanan korporat yang melebihi setahun tetapi jumlah cukainya hanya sedikit iaitu 2.5 peratus sahaja sama seperti nilai zakat. 30 peratus daripada cukai ini mesti ditumpukan khusus untuk menaikkan kuasa membeli rakyat bawahan dengan memberikan bantuan terus kepada mereka berdasarkan kaedah ‘khutusanah’ yang dianjurkan oleh Islam. 12.5 peratus daripada jumlah cukai itu juga dicadangkan supaya diberikan kepada penghutang PTPTN yang tersangkut sehingga menyusahkan hidup, pergerakan dan bisnes golongan ini yang mana semuanya terdiri daripada belia.

Pelaksanaan ini hendaklah dilaksanakan dalam kerangka garis dan panduan sistem cukai Islam yang adil. Asas kepada pelaksanaan ini telah didokumenkan oleh PAS di dalam Dokumen Hijau. Kelmarin, kita melihat ucapan daripada Yang Berhormat Gerik dengan penuh emosi. Bagi saya, beliau sebenarnya meluahkan keadaan rakyat yang sebenarnya dan beliau sangat menginginkan supaya rakyat kita yang sedang susah dibantu dengan baik.

Besar harapan Permatang Pauh agar dalam pembentangan Bajet 2023 nanti, Yang Amat Berhormat Tambun dapat menawarkan sesuatu yang benar-benar menggembirakan majoriti rakyat Malaysia dan rakyat tidak mengharapkan tambahan tekanan lagi. Utamakanlah orang-orang miskin di dalam sebuah negara pasti negara kita akan dibantu oleh Allah SWT.

Nasihat saya kepada pihak kerajaan isu-isu utama yang dibangkitkan melibatkan kepentingan rakyat seperti pendidikan, keselamatan, KWSP bersasar, kos sara hidup, perumahan, peluang pekerjaan, isu pengangguran, penambahbaikan infrastruktur dan kelengkapan agensi-agensi kerajaan, isu pendatang asing, rasuah, gig ekonomi dan juga nepotisme diambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya oleh kerajaan kerana rakyat sekarang ternanti-nanti solusinya. Rakyat Malaysia sedang menilai.

Sebagai menutup sesi perbahasan ini, suka saya ingin mengajak kepada semua ahli Dewan untuk kita sama-sama berbincang dan berbahas di Dewan yang mulia ini dengan penuh tertib dan santun. Dengan itu, ia boleh menjadi dengan izin role model yang akan diikuti dan dicontohi oleh seluruh rakyat Malaysia. Semoga perbahasan kita di Dewan yang mulia ini mampu menyelesaikan masalah rakyat, mempamerkan kecaknaan kita dan tidak membiarkan seluruh rakyat dalam kesusahan tanpa pembelaan. – HARAKAHDAILY 22/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.

- Advertisement -