
WASHINGTON: Satu pertiga daripada ekonomi global dijangka mengalami kemelesetan tahun ini yang akan memberi kesan kepada ratusan juta penduduk dunia.
Pengarah urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristina Georgieva pada Isnin (4 Jan) ketika muncul dalam program CBS, Face The Nation berkata, walaupun di negara yang tidak mengalami kemelesetan, ia akan terasa seperti kemelesetan bagi ratusan juta penduduknya.
“Tahun 2023 ini akan menjadi lebih sukar berbanding 2022 bagi kebanyakan negara di dunia susulan daya tahan tiga kuasa besar ekonomi global – Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), dan China semakin perlahan,” tegas Georgieva.
Tambahnya, walaupun AS adalah yang paling berdaya tahan daripada ketiga-tiga kuasa besar ekonomi global tersebut dan mungkin berjaya mengelak daripada mengalami kemelesetan, namun kesannya akan tetap dirasai.
“Jika pasaran buruh sangat kukuh, Federal Reserve System (yang berpusat di Washington) mungkin terpaksa mengekalkan kadar faedah lebih ketat untuk tempoh yang lebih lama bagi menurunkan kadar inflasi,” katanya.
Menyedari bahawa EU terjejas teruk oleh perang yang berterusan di Ukraine, Georgieva berkata bahawa separuh daripada blok itu akan mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun ini. – HARAKAHDAILY 3/1/2023




















