
Kelab bola sepak Arab Saudi, Al Nassr terkenal di seluruh dunia dalam sekelip mata apabila menandatangani legenda Real Madrid, Cristiano Ronaldo untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun, minggu lalu.
Bagaimanapun mengikut laporan akhbar sukan Sepanyol, Marca, ini hanya permulaan kepada cita-cita besar kelab itu. Selepas mendapatkan tandatangan Ronaldo, mereka kini menyasarkan untuk menandatangani Luka Modric dan Sergio Ramos dalam tempoh terdekat untuk menyatukan semula trio Real Madrid.
Usaha Al Nassr mungkin memberikan peluang kepada peminat bola sepak melihat mereka kembali beraksi bersama menjadi realiti.
Pada usia 37 tahun, Modric masih menjadi pemain utama di bahagian tengah Real Madrid. Berikutan ura-ura kelab itu ingin mendapatkan khidmat Jude Bellingham pada musim panas, pemain Croatia itu mungkin melihat sekarang sebagai masa yang sesuai untuk meninggalkan kelab Sepanyol itu, walaupun laporan menunjukkan bahawa dia bersedia untuk kekal semusim lagi di Madrid.
Sergio Ramos pula bermain untuk kelab terkenal Perancis, Paris Saint-Germain dan baru-baru ini keluar daripada masalah kecederaan dan disenaraikan kembali dalam pasukan utama. Namun, dia akan berusia 37 tahun pada masa musim panas akan datang dan mungkin ingin berpindah dari Eropah.
Ronaldo, Modric dan Ramos, memenangi segala-galanya sepanjang tempoh mereka bersama di Bernabeu, termasuk Liga Juara-Juara UEFA dan La Liga. Untuk melihat mereka kembali beraksi bersama akan menjadi penghujung kisah dongeng kerjaya mereka yang terkenal.
Al Nassr kini menduduki tangga teratas Liga Arab Saudi dengan 26 mata dalam 11 perlawanan, tetapi boleh turun ke tangga kedua akhir minggu ini jika Al-Shabab dan Al-Ittihad, memenangi perlawanan mereka.











