Bilah kipas punca tragedi dua helikopter bertembung di Gold Coast

Juruterbang, Ashley Jenkinson terbunuh dalam nahas pertembungan dua buah helikopter di ruang udara Sea World, Gold Coast, Australia pada 2 Jan 2023. (FOTO: The West Australian)
- Advertisement -

GOLD COAST, Australia: Bilah kipas helikopter yang dipandu juruterbang, Ashley Jenkinson yang telah merempuh kokpit sebuah lagi helikopter didapati menjadi punca tragedi pertembungan dua helikopter berkenaan di ruang udara resort Sea World Marine Park (Sea World), di Gold Coast, Australia.

- Advertisement -

Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Angus Mitchell dalam sidang akhbar pada pagi Selasa (3 Jan) berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati akibat daripada pertembungan dua helikopter terbabit telah menyebabkan pemutar utama dan kotak gear tercabut daripada helikopter yang dipandu Jenkinson, lapor Daily Mail. co.uk.

“Ia seterusnya menyebabkan helikopter yang dipandu Ash Jenkinson, yang ketika itu sedang menaik ke udara kemudiannya hilang daya angkat lalu terhempas ke tanah,” jelasnya.

Pasangan Ron dan Diane Hughes (foto kiri) dan Vanessa Tadros (foto kanan) antara tiga mangsa yang terbunuh dalam insiden pertembungan dua buah helikopter di Gold Coast, Australia. (FOTO: The Australian)

Tambah Mitchell, helikopter kedua yang ketika itu sedang cuba mendarat sebaliknya berjaya mendarat secara tegak dengan selamat – disifatkan sebagai ‘agak luar biasa’ – biarpun mengalami kerosakan pada bahagian kiri hadapan kokpitnya.

Beliau berkata, kemalangan yang berlaku pada jam 2 petang itu di beting pasir yang hanya beberapa ratus meter terletak dari landasan pendaratan di Sea World; dan 200 hingga 300 meter di udara.

Dalam kejadian petang Isnin (2 Jan) itu, Jenkinson yang merupakan kelahiran Britain sebelum berpindah ke Australia memandu helikopter pertama membawa pelancong untuk menikmati keseronokan merentasi kawasan pantai yang indah di Sea World.

Jenkinson, 40, dilaporkan baru sahaja mendapat  anak lelaki, Kayden, pada Sept 2021, hasil perkahwinan bersama isterinya, Kosha.

Lokasi kejadian ngeri dua helikopter bertembung di beting pasir di resort Sea World, di Gold Coast, Australia. (FOTO: CNN)

Dua penumpang helikopter yang dipandu Jenkinson – sepasang suami isteri warga Britain, Ron dan Diane Hughes, masing-masing berusia 65 dan 57 tahun – turut maut dalam nahas pertembungan dua buah helikopter yang ketika itu dikunjungi ratusan pelancong.

Nahas itu turut meragut nyawa seorang wanita warga Australia, Vanessa Tadros, 36, yang sebelum itu cedera parah apabila helikopter yang dinaikinya itu terjunam ke tanah selepas perlanggaran itu.

Pasangan Hughes dari Merseyside, Britain yang mengikat tali pertunangan pada Ogos 2021 sedang bercuti di Australia ketika nahas itu berlaku dipercayai mempunyai kaitan dengan Tadros yang menaiki helikopter sama bersama anaknya, Nicholas.

Nicholas berusia 10 tahun itu diselamatkan dari serpihan helikopter berkenaan dan dikejarkan ke hospital dengan kecederaan serius, yang mana ahli keluarga, termasuk bapanya menyaksikan secara langsung kemalangan itu berlaku di depan mata di lokasi kejadian.

Dua lagi penumpang helikopter terbabit – seorang budak lelaki berusia sembilan tahun dan wanita berumur 33 tahun yang juga mengalami kecederaan serius, turut dimasukkan ke hospital selepas kenderaan itu mendarat secara terbalik di tebing pasir di Gold Coast.

Lokasi kejadian berlaku hanya beberapa ratus meter terletak dari landasan pendaratan di Sea World, Gold Coast, Australia. (FOTO: Skynews.com.au)

Sementara, The Guardian melaporkan bahawa lima daripada enam penumpang dalam helikopter kedua hanya mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi meninggalkan tempat kejadian tanpa sebarang kecederaan.

Juruterbang helikopter kedua tersebut dapat melakukan pendaratan terkawal, walaupun selepas bahagian kiri kokpitnya dirempuh oleh helikopter pertama yang dipandu Jenkinson dalam insiden berkenaan.

Sementara itu Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dalam tweetnya berkata  bahawa negara telah dikejutkan dengan ‘berita tentang insiden yang dahsyat dan tragis’ itu.

“Saya bersimpati dengan semua mangsa yang terjejas, dan semua yang berduka (akibat kejadian itu),” tweetnya. – HARAKAHDAILY 3/1/2023

- Advertisement -