Brentford kejutkan Liverpool 3-1

Bryan Mbeumo (kiri) meraikan gol ketiga Brentford
- Advertisement -

Brentford melakar kejutan dengan menewaskan Liverpool 3-1 di laman sendiri, sekali gus menamatkan empat kemenangan berturut-turut pasukan Juergen Klopp dan menjejaskan cita-cita mereka untuk mara ke kelompok empat teratas Liga Perdana.

- Advertisement -

Kekalahan pertama Liverpool dalam lima perlawanan liga menyebabkan mereka berada di tangga keenam dengan 28 mata selepas 17 perlawanan, empat mata di belakang pasukan tangga keempat, Manchester United, yang mampu melebarkan jurang kepada tujuh mata apabila menerima kunjungan Bournemouth, hari ini.

Pemain pertahanan Liverpool, Ibrahima Konate, merembat bola ke gawang sendiri pada minit ke-19, manakala Yoane Wissa menggandakan kelebihan Brentford sebelum babak pertama berakhir selepas dua gol pasukannya dibatalkan selepas pengadil merujuk kepada VAR.

Darwin Nunez menjaringkan gol untuk Liverpool pada awal permainan babak kedua, tetapi golnya kemudiannya dibatalkan kerana ofsaid.

Alex Oxlade-Chamberlain memberikan harapan kepada Liverpool apabila menanduk masuk hantaran lintang Trent Alexander Arnold, tetapi tidak lama kemudian Bryan Mbeumo memastikan tiga mata untuk Brentford pada minit ke-84.

Kemenangan ini menambah kemenangan mengejut Brantford di tempat sendiri mengatasi Manchester United 4-0 pada Ogos dan 2-1 terhadap penyandang juara, Manchester City pada November lalu, membawa kelab itu melonjak ke tempat ketujuh dengan 26 mata selepas 18 perlawanan.

Brentford kehilangan penjaring terbanyak mereka, Ivan Toney kerana kecederaan tetapi membuatkan lawan mereka yang lebih terkenal menderita dengan taktik permainan yang sengit dan memanfaatkan beberapa kelemahan pertahanan Liverpool. – REUTERS

- Advertisement -