
MANILA: Beribu-ribu mangsa banjir di Filipina kekal berada di pusat perlindungan kecemasan berikutan banjir besar yang melanda sejak Krismas (25 Dis 2022) dengan kematian terkini mencecah 51 orang dengan 19 yang lain masih hilang.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Benaca Kebangsaan Filipina dalam kenyataannya pada lewat Isnin (2 Jan) berkata bahawa wilayah Mindanao Utara menanggung beban bencana paling teruk dengan melaporkan 25 kematian, lapor AP.
“Kematian di wilayah Mindanao Utara adalah akibat lemas – antaranya nelayan yang bot mereka karam di lautan; selain mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh,” ujar kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, banjir telah surut di kebanyakan bahagian, tetapi lebih 8,600 orang masih berada di tempat perlindungan berbanding lebih 270,000 mangsa yang terjejas sejak 25 Dis lalu.

“Lebih 4,500 kediaman rosak akibat banjir, selain jalan raya dan jambatan, dan beberapa kawasan masih bergelut dengan bekalan elektrik dan air yang terganggu,” ujar agensi pengurusan bencana itu.
Sementara imej menunjukkan penduduk di selatan wilayah Misamis Occidental menyapu lumpur tebal dari lantai rumah mereka.
Di perkampungan tepi pantai Cabol-anonan, pokok-pokok kelapa tercabut dari tanah dan pondok-pondok yang diperbuat daripada bahan ringan hampir kesemuanya dihanyutkan air banjir.
Seorang pekerja hospital dari bandar Ginoog di wilayah Misamis Oriental, Ivy Amor Amparo berkata kediaman ibu bapa dan adik-beradiknya di tepi pantai rosak akibat dihempas ombak besar dan pokok-pokok yang tumbang.
Pasukan penyelamat membawa ibu kepada dua anak dan saudara-maranya dengan trak ke tempat perlindungan berhampiran, di mana mereka menghabiskan hujung minggu Krismas.
Tambah Amparo, bapanya membeli bahan menggunakan bantuan tunai 5,000 peso (AS$90) daripada kerajaan tempatan untuk membina tempat perlindungan sementara untuk kesemua tujuh ahli keluarga mereka.

Sementara kerajaan negara itu telah menghantar bekalan makanan dan keperluan lain, mengerahkan peralatan berat untuk operasi pembersihan, selain menyediakan kepingan besi dan kit pembaikan tempat perlindungan.
Pasukan dari ibu kota Manila telah dihantar untuk membantu komuniti dengan air bersih yang terhad dalam menyediakan sistem penapisan air.
Sekurang-kurangnya 22 bandar dan majlis perbandaran telah mengisytiharkan keadaan bencana. Langkah itu akan membolehkan pengeluaran dana kecemasan dan mempercepatkan usaha pemulihan.
Terdahulu biro cuaca Filipina berkata bahawa garis ricih yang merupakan titik pertemuan udara panas dan sejuk telah mencetuskan hujan lebat di beberapa bahagian negara itu pada minggu lalu, sebelum diikuti kejadian tanah runtuh. – HARAKAHDAILY 3/1/2023




















