
LANGKAH Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Selangor memperkenalkan Skim Insuran Am Selangor atau INSAN iaitu skim insuran percuma untuk melindungi seluruh rakyat negeri ini sangat dialu-alukan. Skim ini memberi perlindungan sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.
Walau bagaimanapun PAS Negeri Selangor kesal yang kerajaan negeri memilih syarikat perkhidmatan insuran konvensional atau yang tidak patut syariah bagi skim yang nilai perlindungannya mencecah RM60 bilion ini.
Sepatutnya pihak Menteri Besar sensitif dan mengambil kira isu halal-haram sebelum melibatkan rakyat Negeri Selangor yang majoriti terdiri dari penganut Islam.
Tindakan kerajaan negeri ini melanggar jelas melanggar keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali ke 3/2011 yang bersidang pada 14 Jun 2011/ 12 Rejab 1432H telah memutuskan: Insuran Konvensional adalah suatu muamalat yang diharamkan oleh Islam kerana amat bercanggah dengan Prinsip Islam. Oleh yang demikian, Pampasan Polisi Insurans Konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.
Oleh itu PAS Selangor menggesa agar pihak Kerajaan Negeri PH menangguhkan skim ini serta merta dan pada waktu yang sama mengambil langkah berunding dengan syarikat-syarikat perkhidmatan takaful yang patuh syariah untuk mengambil-alih skim ini.
Biarlah segala program dan skim yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan negeri buat rakyat Selangor sentiasa halal dan patuh syariah demi memperolehi barakah dan rahmat dari Allah S.W.T.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 13/12/2022




















