
LONDON: Salji tebal menyelubungi beberapa bahagian Britain, mengganggu operasi lapangan terbang, rangkaian kereta api dan jalan raya, manakala tiga kanak-kanak lelaki maut selepas terjatuh ke dalam tasik yang dilitupi ais ketika negara itu merekodkan malam paling sejuk tahun ini setakat ini.
Sebahagian rangkaian kereta api bawah tanah London, digantung atau menghadapi kelewatan, manakala lebuh raya tidak dapat dilalui akibat salji. Lapangan terbang Gatwick dan Stansted di London memberi amaran jadual penerbangan mungkin terganggu.
Pejabat Meteorologi mengeluarkan amaran cuaca kuning untuk salji dan ais di London dan tenggara England, selain amaran ais dan kabus di bahagian lain England dan seluruh Ireland Utara.
Suhu turun di bawah -15 darjah Celsius di utara Scotland dengan Pejabat Meteorologi mengesahkan ia adalah malam paling sejuk dalam tempoh setahun. Amaran lanjut di Scotland dan timur laut England berhubung kemungkinan gangguan akibat cuaca akan bermula pada tengah malam hari Selasa.
Grid Nasional Britain (NG.L) mengeluarkan pemberitahuan untuk menyediakan dua loji arang batu kontingensi musim sejuk, tetapi kemudian membatalkan notis siap sedia kerana pengeluaran nuklear yang lebih tinggi dan kelajuan angin mengurangkan kemungkinan kekurangan tenaga.

Ketika salji menimbulkan masalah kepada penumpang dan pelancong, pekerja perkhidmatan kereta api dan pegawai sempadan merancang tindakan perindustrian.
Beberapa pengendali kereta api menasihat pelanggan untuk tidak melakukan perjalanan, manakala perkhidmatan kecemasan menyatakan orang ramai perlu berhati-hati dalam keadaan yang berpotensi menjadi bahaya.
Sementara itu, tiga kanak-kanak lelaki maut dan seorang lagi yang berumur enam tahun berada dalam keadaan kritikal selepas mereka terjatuh ke dalam tasik yang dilitupi ais di Solihull, tengah England, pada petang Ahad lalu. Perkhidmatan kecemasan juga terus memeriksa tasik itu untuk memastikan tiada pengunjung lain terjatuh.
“Kematian budak lelaki itu adalah tragedi yang tidak dapat diungkapkan,” kata Richard Stanton dari Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat tempatan.
“Kejadian semalam adalah peringatan yang nyata kepada kita semua mengenai bahaya di kawasan tasik, terutama ketika musim sejuk.” – REUTERS











