Anak muda: Dalam mendukung dan sebagai calon PAS

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS di Kelantan sejak dahulu sentiasa mendapat sokongan dan dukungan anak-anak muda yang terlibat dalam politiknya termasuk menjayakan kemenangan PAS pada pilihan raya. 

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Kelantan, Zulkifli Mamat berkata, walaupun ramai dalam kalangan anak muda itu berpendidikan tetapi mereka diugut, dinafikan hak dan ditukar tempat kerja kerana komited dengan PAS. 

“Ini satu petanda sejak awal, sekarang dan akan datang insya-Allah, petanda baik yang mana tekanan, ugutan yang negatif tidak mematikan keputusan yang dibuat, pegangan yang mereka ambil. Kenapa?  

“Kerana di sana ada perkara yang lebih besar sebenarnya yang dipertimbangkan oleh anak muda secara khusus umumnya oleh kita semua iaitu kenapa kita terlibat dengan politik,” ujar beliau dalam wawancara Bicara Siasah, kelmarin dahulu. 

Menurut beliau, keteguhan anak muda bersama PAS adalah hasil penerapan ajaran Islam yang kuat menerusi kuliah dan seumpamanya hingga mereka terbukti tahan diuji biarpun kepentingan duniawi disekat. 

Pujinya, anak muda sentiasa membawa perubahan dalam politik di mana kebangkitan mereka dengan menyatakan sikap dan pendirian menunjukkan keinginan kepada satu satu wawasan yang jauh.  

“Kalau Allahyarham Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat) dia kata wawasan akhirat, lebih jauh daripada Wawasan 2020. Kalau Wawasan 2020 Malaysia maju. Apa yang kita nyata, apa yang kita lihat hari ni 2022, tak tahu ke mana Malaysia maju. 

“Kita boleh bawa pelbagai alasan kenapa Malaysia tidak maju, tetapi kita lupakan sekejap yang itu. Kita tengok wawasan kita ialah wawasan akhirat iaitu wawasan untuk kembali mengabdikan diri kepada Allah S.W.T, hidup di atas dunia ini sebagai hamba Allah.  

“Ubudiyah, Mas’uliyah dan Itqan tadi, kita dapat simpulkan bahawa melalui dasar dan penghayatan ini, ianya memberi contoh yang baik kepada anak muda secara khususnya untuk bersama dengan arus pembangunan yang ada di Malaysia di Kelantan dan di dunia ini.  

“Ada orang kata bahawa Islam ini menongkah arus, lawan arus. Sebenarnya pada saya tidak, Islam bukan melawan arus, tapi Islam masuk ke dalam arus yang sama untuk bergerak bersama dengan arus. 

“Arus pembangunan tersebut dengan memasuk dan mengubahkan ciri-ciri pembangunan agar ianya sesuai dengan kehendak Islam,” hujahnya. 

PAS juga tegasnya, tidak pernah mengasingkan latarbelakang pendidikan atau kerjaya manusia kepada kelompok-kelompok terasing, bahkan segala sudut perkembangan duniawi juga diselarikan dengan Islam. 

Calon anak muda

Menurut beliau, PAS Kelantan setiap kali pilihan raya akan membuat pertukaran secara organik kepada calon sekitar 30 peratus dengan menampilkan muka baru untuk dipilih rakyat.  

“Ditukarkan bukan kerana kesalahan, kesilapan ataupun kerana kelemahan, tetapi kepimpinan semasa membuat perkiraan bagi penerusan parti dan juga penerusan sebuah kerajaan. Ianya perlu diberi nafas baru setiap kali lima tahun pertukaran itu berlaku.  

“Di sinilah tempatnya yang biasa orang tanya, di mana tempat untuk pemuda secara khususnya orang muda anak muda, sama ada ianya daripada kalangan wanita, anak muda daripada kalangan ulamak dan dari semua golongan. 

“Saya bersama dengan kepimpinan PAS di Kelantan akan mengatakan bahawa inilah peluang yang terbaik untuk anak muda terjun ke tengah masyarakat agar mereka akan menjadi pilihan kepada rakyat. 

“Dan kita parti akan sentiasa melihat perkembangan tersebut dan akan mengemukakan, menjadikan mereka sebagai calon untuk pilihan dalam pilihan raya,” ujar beliau. 

Tambahnya, perkembangan anak muda juga diambil berat oleh PAS di kampus kerana di situ adanya ilmu, pengalaman dan penglibatan anak muda di mana lawan kepada universiti ialah partikulariti iaitu melihat secara sempit atau jauh ke bawah.

“Di sini indahnya, perkembangan ilmu. Siapa yang berjaya menggarap kepelbagaian bidang ilmu secara luas akan berjaya untuk membawa diri mereka bagi memimpin masyarakat.  

“Tinggal lagi ada pemimpin yang berdasarkan kepada panduan, al-Quran dan Hadis, ada pemimpin yang berdasarkan kepada fikiran, sama ada fikiran Barat, fikiran sosialis, fikiran bebas dan sebagainya.  

“Kembali kepada PAS, PAS sentiasa mengajak ummah, rakyat Malaysia khususnya kepada ahli-ahli PAS mari kita kembali kepada landasan Islam,” katanya yang melihat ruang besar untuk anak muda di dalam PAS dan juga politik Malaysia. 

Percaya beliau, anak muda akan mengisi segala kelemahan atau kelompongan yang ada di dalam PAS dan politik negara dengan pendidikan, pengalaman dan bidang diceburi serta tekanan dihadapi mereka. 

Pun begitu bagi beliau, anak muda kini sudah dapat mengadaptasi tekanan yang wujud termasuk daripada politik di mana ugutan juga sudah tidak berkesan ke atas mereka. – HARAKAHDAILY 14/10/2022

- Advertisement -