
UMUR DS Anwar Ibrahim, sudah menjangkau 75 pada tahun ini. Beliau lahir ada tahun 1947, sama tahun dengan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Mereka banyak bersama sewaktu muda dahulu, bercita-cita membentuk negara, berdasarkan ilmu masing-masing. Banyak cubaan mereka ingin bersama, namun terlalu banyak juga halangan yang terpaksa dihadapi bagi harga persefahaman mereka.
Kedua mereka pernah dinobatkan, bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia oleh pihak luar yang tidak berkepentingan. Dua-duanya pernah menjadi pembangkang dan kerajaan. Walaupun TS Presiden PAS, jauh berkemahiran dalam menjalani hubungan dengan pemimpin Islam luar, DS, Anwar, tidak kurang juga hebat dalam hubungan ekonomi. Terlebih lagi sewaktu tempoh ‘penyeksaan’ yang beliau hadapi. Banyak simpati luar.
Cuma beberapa perbezaan ketara yang memisahkan mereka. TS Presiden PAS, belum pernah keluar melompat parti, istiqamah dengan ideologi Islam bersama PAS, tetapi DS Anwar sudah beberapa kali terjun kapalnya. Perjuangan yang dahulunya lain, sekarang sudah lain. Membela rakyat di Baling kerana kebuluran, menentang Umno, beliau kemudian masuk Umno, mengejutkan rakan-rakannya dalam ABIM.
Hasratnya mahu mencuci tong najis, jadi mesti mendekatinya. Teori itu mungkin sahaja benar, tetapi sebelum mendekati atau masuk, pastikan pakaian yang sesuai dipakai, agar nanti tidaklah terlalu banyak najis yang perlu dibersihkan, atau paling kurang, selamatlah badan daripada terkena najis, walau mungkin di kasut ada terpercik najis itu. Itu caranya.
Tong yang penuh dengan najis itu, sebaliknya beliau gelumangi dengan bersungguh-sungguh, agaknya sudah tertelan air cucian tong itu, entahlah. Ketika Tun Ghaffar mahu dijatuhkannya, dikhabarkan hujan wang turun mencurah-curah. Ya, itu kebiasaan, perwakilan tidak akan memberi undi kepada calon yang tidak menurunkan hujan ‘tuah’ kepada mereka. Rebahlah Tun Ghaffar Baba dengan hinanya. Nama ‘politik wang’ pun menjadi popular. Sedangkan politik wang itu adalah rasuah, kata Profesor Di Raja, Engku Aziz.
Langkahnya diperkemas, mewujudkan ‘Team Wawasan’. Pasukan impian ini, dijaja bahawa akan menjadi peneraju negara, selepas Tun Mahathir nanti. Pembangkang terlopong, tahun 90-an adalah tahun yang tiada ‘ong’ bagi mereka. Angkatan Perpaduan Ummah (APU) disertai PAS, Semangat 46 yang ketuanya ialah Tengku Razaleigh dan banyak lagi parti lain, tidak dapat menggugat langsung BN. Sehinggakan DS Anwar dengan begitu angkuh menghina Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana meminta bantuannya.
Jatuhnya DS Anwar, tidak lama selepas itu, kerana skandal sodomi yang didakwa ke atasnya. Hancur semua harapan yang beliau hasratkan. Mendapat tamparan terhebat dengan karier politiknya, hampir berkubur, setelah hanya satu anak tangga lagi sebelum menjadi Perdana Menteri. Permusuhan dengan Tun Mahathir sangat dahsyat sehingga disebut orang, antara sebab Pak Lah diturunkan dari menjadi Perdana Menteri adalah kerana DS Anwar dibebaskan sewaktu Pak Lah menjadi Perdana Menteri. Marah sungguh Tun Mahathir.
Kata pepatah, jika kita tidak dapat melawan musuh, maka baik kita berkawan dengan mereka. Akhirnya, demi janji untuk menjadi Perdana Menteri, DS Anwar dan Tun Mahathir menjadi satu pasukan baharu. Lebih mengejutkan, BN tumbang terus. DS Anwar diampunkan dan bertanding di Port Dickson. Beliau menang dan menanti janji-janji untuk ditabalkan menjadi Perdana Menteri. Ketamakan, bernafsu tinggi dan kebodohan beliau ialah kerana mempercayai sekali lagi ‘scammer’ politiknya dahulu, Tun untuk melantik beliau menjadi Perdana Menteri.
Kerajaan PH dijatuhkan, kerusi Perdana Menteri ke mana, janji-janji PRU ke mana. Tetapi DS Anwar masih dengan muka tebalnya, beliau tetap mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia. Sanggup bertukar pasangan, sebagaimana yang beliau tuduh kepada PAS. Lebih hina, sanggup menukar perjuangan, hingga tiada masalah dengan liberal. Sanggup menghina ustaz-ustaz PAS dan memuji kafir seperti Anthony Loke dalam hal judi, sedangkan PAS sudahpun siap mengharamkan judi di tiga buah negeri. Begitulah kebulurnya beliau bagi menjadi Perdana Menteri.
Dengan jangka masa yang sudah di hujung usia ini, kudratnya sudah melemah, tetapi nafsunya, tetap naik menguat, demi jawatan Perdana Menteri. Beliau tidak akan berhenti, selagi belum mengecap habuan dunia sebagai Perdana Menteri. Walau terpaksa menipu, menukar perjuangan yang dahulunya berlandaskan Islam. Dapat dilihat jelas betapa kesungguhan dan keinginannya amat menebal. Sudah berapa kali wakil rakyat PKR terpaksa meletakkan jawatan, demi kerana beliau mahu bertanding. Membazir? Untuk beliau OK, orang lain, tak OK, membazir. Forensik audit betullah beliau ni.
Tun Mahathir sedang memerhati tajam. Jika DS Anwar sekali lagi berjaya dihalang menjadi Perdana Menteri, bermakna beliau akan mencapai umur 80 tahun pada PRU-16, itupun jika beliau masih ada umur. Kita tunggu, adakah beliau seghairah dan serakus ini juga mahu menjadi Perdana Menteri? Jika dilihat keadaan sekarang, beliau kelihatannya akan masih seperti itu. Sama-sama kita doakan supaya Malaysia selamat daripada malapetaka.
MOHD NASIR ABDULLAH
13 Oktober 2022 – HARAKAHDAILY 13/10/2022
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.




















