
Oleh YUSMAN AWANG
KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat untuk membasmi kemiskinan tegar di Malaysia menjelang tahun 2025 yang bakal ditangani secara holistik melalui pendekatan whole-of- nation.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia telah dimulakan pada tahun ini dengan peruntukan hanya 150 juta ringgit.
Menurutnya, bagi tahun 2023, untuk menyegerakan agenda membasmi kemiskinan tegar, peruntukan sebanyak satu RM1 bilion telah disediakan, yang mana RM750 juta merupakan peruntukan kerajaan dan selebihnya, RM250 juta adalah daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh GLC.
“Program ini akan menyediakan peluang ekonomi kepada lebih 50,000 isi rumah miskin tegar bagi meningkatkan pendapatan antaranya menerusi projek pertanian serta keusahawanan produk dan perkhidmatan.
“Bantuan yang diberikan termasuklah latihan, modal permulaan, insentif pertanian, pemasaran dan pendigitalan. Diharapkan, usaha ini dapat meningkatkan pendapatan isi rumah miskin tegar sehingga melepasi pendapatan garis kemiskinan makanan,” katanya pada Pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) 2023
Sehubungan itu tambah Tengku Zafrul, menyedari manfaat yang diraih daripada pemberian bantuan tunai langsung, pelaksanaan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan terus ditambah baik pada 2023.
Mengulas lanjut, beliau berkata, BKM 2023 akan memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima dengan peruntukan RM7.8 bilion yanga mana ia adalah bantuan komprehensif yang ditambah baik dengan ketara jika dibandingkan Bantuan Sara Hidup 2020 dengan lima juta penerima dan peruntukan RM5 bilion.
“Atas keprihatinan kerajaan kepada golongan susah dan B40, bantuan tunai di bawah JKM dan BKM untuk tahun 2023 akan melebihi 10 bilion ringgit.
“Diharap bantuan ini dapat menghela nafas lega para penerima dan digunakan sebaiknya mengikut keperluan masing-masing,” ujarnya.
Sehubungan ujar Tengku Zafrul lagi, penambahbaikan BKM sepanjang 2023 adalah melalui beberapa pendekatan berikut:
• Isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan menanggung lima orang anak atau lebih, layak menerima BKM sebanyak RM2,500. Ia merupakan kategori baharu sebagai usaha kerajaan meringankan beban keluarga yang menyara ramai anak. Sementara, bagi isi rumah sehingga empat orang anak pula, akan layak menerima BKM antara 1,000 hingga 2,000 ringgit.
• Khusus buat isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 ringgit, BKM yang disediakan adalah antara RM500 hingga RM1,250 bergantung kepada bilangan anak.
• Kepada warga emas tiada pasangan serta golongan bujang pula, mereka akan terus menerima BKM masing-masing sebanyak RM600 dan RM350 bergantung kepada had pendapatan tertentu.
• Bagi tahun 2023, bantuan tambahan 500 ringgit kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan akan diteruskan. Ini bermakna, ibu atau bapa tunggal layak menerima bantuan. – HARAKAHDAILY 7/10/2022




















