
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk memberikan bayaran khas one-off RM500 kepada guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata seramai 72,000 orang akan menerima manfaat dengan peruntukan RM36 juta.
Menurutnya, kerajaan menyediakan hampir RM700 juta sebagai bayaran elaun bulanan kepada imam, guru KAFA dan guru Takmir.
“Mereka berperanan besar dalam mendidik anak-anak kita dan mengimarah Islam di peringkat komuniti,” katanya ketika pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, semestinya agenda memartabatkan syiar Islam akan terus diutamakan dan di bawah Jabatan Perdana Menteri, sejumlah RM1.5 bilion disediakan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.
Bagi tahun 2023, katanya kerajaan menyediakan RM150 juta untuk menyelenggara fasiliti pendidikan di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) antaranya sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz dan institusi pondok berdaftar. – HARAKAHDAILY 7/10/22











