Tiada jabatan kerajaan terlibat kes perlombongan haram

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

POKOK SENA:
Tiada jabatan kerajaan terlibat dengan kes perlombongan haram dan kecurian nadir bumi atau Rare Earth Elements (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kes tersebut tidak melibat syarikat berlesen yang bekerjasama dengan Menteri Besar Incorporated (MBI).

Katanya MBI masih menunggu prosedur operasi standart (SOP) daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

“Kawasan yang menjadi tumpuan perlombongan haram itu juga berada di luar lot yang dibenarkan kepada syarikat berlesen terbabit.

- Advertisement -

“Ada pihak cuba mengaitkan isu perlombongan haram itu dengan MBI berpandukan papan tanda yang berada di lokasi berkenaan.

“Sedangkan terdapat beberapa projek MBI sedia ada sejak 2017 termasuk ladang rakyat dan syarikat ladang solar.

“Oleh itu aktiviti haram berkenaan sukar dikesan serta di luar pengetahuan agensi terbabit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Jelajah Kedah Sejahtera, Daerah Kota Setar di perkarangan Masjid Nurul Insan, Jalan Langgar, di sini, hari ini.

Sanusi juga berkata pihaknya tidak mengetahui perlombongan haram tersebut sebelum ini sehingga dimaklumkan oleh Pejabat Tanah dan Galian setelah berlaku tangkapan.

Beliau turut hairan kerana ada pihak mengatakan aktiviti haram itu berlaku sejak dua tahun lalu.

“Ada pihak yang kata dua tahun, bagaimana dia orang tahu. Kalau betul sudah dua tahun saya yakin aktiviti itu sudah dapat dikesan,” tambahnya.

Bagaimanapun Sanusi menyerahkan isu itu kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk Jabatan Hutan serta Pejabat Tanah dan Galian untuk menyiasat.

“Pada pandangan saya pihak yang terlibat seharusnya dikenakan kompaun paling tinggi mungkin sehingga RM5 juta. Kalau dibawa ke mahkamah, denda yang dikenakan akan dibayar kepada kerajaan Persekutuan sedangkan kekayaan yang dicuri itu milik Kedah.

“Tetapi itu hanya pandangan saya, terserahlah kepada agensi yang menguatkuasa undang-undang nak terima atau tidak,” kata beliau lagi.

Sanusi juga berkata, Kedah masih menunggu SOP dari kementerian terbabit supaya aktiviti perlombongan REE dilaksanakan mengikut undang-undang yang ditetapkan. – HARAKAHDAILY 7/10/2022

- Advertisement -