
Susunan ZULHAIDI MANSOR
TEHRAN: Seorang ahli akademik Iran menggelarkan Ratu Elizabeth sebagai ‘salah seorang penjenayah terhebat dalam sejarah umat manusia’, malah membandingkannya dengan Nazi Jerman, Adolf Hitler.
Profesor di Universiti Tehran, Foad Izadi membuat kenyataan itu ketika muncul di rangkaian Channel 1 TV Iran mendakwa bahawa kemangkatan baginda ratu adalah berita baik untuk rakyat dunia yang tertindas dan berkata, warisan peninggalannya penuh dengan jenayah, kekejian dan kekotoran, lapor The Daily Mail.
Menurut laporan itu, Kementerian Luar Iran sebelum ini tidak mengulas mengenai kemangkatan baginda ratu atau pelantikan Raja Charles III.
Ahli akademik berkenaan dalam ulasan yang diterjemahkan oleh Institusi Penyelidikan Timur Tengah itu berkata bahawa ‘mungkin, memandangkan 70 tahun beliau di atas takhta, beliau harus dimasukkan dalam senarai yang sama dengan Hitler’.
Sementara itu, NZHerald melaporkan Izadi sebagai berkata dalam rangkaian TV berkenaan bahawa dari perspektif tertentu, semua pihak harus bersedih kerana beliau (baginda ratu) mangkat tanpa perbicaraan, tanpa dihukum, dan tanpa ‘membayar’ atas ‘jenayah’ yang dilakukannya.
“Ratu Elizabeth II merupakan seorang imperialis, penjajah, penjenayah perang yang terkenal, pencerobohan tentera British di seluruh dunia dilakukan di bawah namanya.
“Jadi, kita hanya mempunyai segelintir orang yang telah terlibat dalam banyak kekejaman pada abad yang lalu. Hitler, sebagai contoh, beberapa presiden Amerika tergolong dalam senarai itu, dan Ratu Elizabeth yang menyelia berakhirnya Empayar British.
“Jumlah orang yang telah dibunuh adalah berjuta-juta dan Ratu bertanggungjawab untuk itu. Keadilan tidak diberikan kepada salah seorang individu paling kejam pada abad yang lalu,” katanya dalam komen yang diterbitkan oleh Daily Mail.
Pemimpin Nazi Jerman dalam Perang Dunia II, Adolf Hitler, bertanggungjawab atas kira-kira enam juta kematian semasa Holocaust.
Minggu lalu pula, seorang ahli akademik dari Amerika Syarikat mencetuskan kekecohan apabila dia mendoakan kematian yang “mengerikan” kepada Ratu.
“Saya mendengar ketua raja pencuri merogol empayar pembunuhan beramai-ramai akhirnya mati. Semoga kesakitannya menjadi pedih,” kata Uju Anya dari Carnegie Mellon University.
Ratu Elizabeth merupakan raja British paling lama memerintah sepanjang zaman dan raja kedua paling lama memerintah di dunia, hanya diungguli oleh Louis XIV dari Perancis.
Pemimpin dari seluruh dunia akan menghadiri pengebumian itu tetapi bukan dari Iran yang mempunyai hubungan yang tidak baik dengan Barat. – HARAKAHDAILY 19/9/2022




















