
Susunan YUSMAN AWANG
SINGAPURA: Kejadian runtuhan tanah di kawasan tapak pembinaan flat Bina Ikut Tempahan (BTO), Clementi NorthArc, berhampiran Clementi Avenue 6 akibat hujan lebat, mengulangi insiden sama yang berlaku di beberapa kawasan di Singapura pada tahun lepas.
Dalam kejadian terbaharu itu, sebahagian daripada jalan penyambung dari lokasi kejadian ke Taman Ulu Pandan ditutup kepada orang awam.
Lembaga Taman Negara (NParks) dalam kenyataan pada hari ini, Ahad (4 Sept) berkata, jalan penghubung tersebut bagaimanapun telah dibuka semula apabila kerja-kerja pemulihan dan pembaikan diteruskan susulan kejadian tanah runtuh berkenaan, lapor CNA.
Dalam kejadian tanah runtuh pada awal pagi Jumaat (2 Sept) lalu itu, jalan penghubung ke Taman Ulu Pandan di Clementi berhampiran projek flat BTO yang hampir siap berkenaan telah merekah di kawasan berhampiran sebuah longkang di kawasan tersebut.
Sementara itu, bahagian jalan penyambung taman yang lebih dekat dengan tapak kejadian di Clementi, jajaran antara Boon Lay Way dan Jalan Clementi, bagaimanapun masih lagi ditutup.
“Ini disebabkan oleh kerja pemulihan dan pembaikan yang berterusan dan terancang serta potensi risiko banjir,” kata NParks dalam catatan Facebook.

Dalam pada itu, jalan penyambung taman di luar kawasan ini, dari Clementi Road ke Commonwealth Avenue West, kini telah dibuka.
Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura dalam pada itu berkata, kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat yang berlaku di tapak pembinaan flat berkenaan telah menyebabkan berlaku ‘anjakan tanah’ ke Sungei Ulu Pandan, menghasilkan kerosakan pada jalan penyambung ke Taman Ulu Pandan, dengan seorang pejalan kaki mengalami kecederaan ringan.

NParks menegaskan bahawa ia akan bekerjasama dengan agensi air nasional Singapura, PUB untuk memantau dengan teliti ramalan hujan dan paras air di terusan, dan akan menutup sementara jalan-jalan penyambung taman apabila perlu.
Dalam catatan Facebook berasingan pada Ahad, PUB menggesa orang ramai mengelak daripada menggunakan penyambung jalan ke Taman Ulu Pandan semasa hujan lebat.
“Sekiranya banjir berlaku, kekal di tanah tinggi dan elakkan berjalan melalui air banjir,” kata PUB.

Terdahulu, pada Januari 2021, CNA melaporkan bahawa berlaku beberapa kejadian tanah runtuh dan runtuhan lereng bukit di beberapa kawasan di Singapura ekoran hujan lebat, termasuk di pulau-pulau selatan.
Salah satu kawasan yang terjejas terletak berdekatan Hotel Furama Riverfront apabila lereng bukit antara Jalan Minyak dengan jalan belakang hotel, runtuh.

Satu lagi kawasan adalah di Pasir Ris yang mengalami tanah runtuh adalah di kawasan lereng bukit dekat Loyang Avenuue yang menyebabkan beberapa pagar penghadang di sepanjang terusan monsun pecah dek runtuhan tanah.
Insiden tanah runtuh secara kecil-kecilan juga dilaporkan berlaku pada ketika itu di pulau-pulau selatan Singapura seperti Kusu. – HARAKAHDAILY 4/9/2022




















