
Oleh SARINA ISMAIL | Foto ZHARIF ZULKIFLEE
ALOR SETAR: Jemputan kepada pemimpin Barisan Nasional ke majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah bukan sahaja melalui surat rasmi tetapi juga secara maya.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, surat jemputan kepada Presiden Umno, MCA dan MIC telah dihantar ke pejabat masing-masing.
“Bukan sahaja presiden ketiga-tiga parti itu dijemput malah majlis tertingginya juga dijemput. Tetapi tiada ada apa-apa masalah kalau mereka tidak boleh hadir.
“Tetapi jemputan itu membuktikan sikap keterbukaan PAS menuju ke arah kestabilan negara,” ujarnya kepada media selepas Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman Pokok Bersama Komuniti Kota Sarang Semut, hari ini.
Semalam, ketiadaan wakil dari Umno pada majlis perasmian sama ada peringkat pusat mahupun negeri telah menimbulkan persoalan banyak pihak termasuk perwakilan dan media.
Sementara itu, kata Takiyuddin, jemputan kepada pemimpin BN khususnya Umno Kedah dilakukan melalui PAS negeri itu.
“Bila dah dihantar ke pejabat mereka maka ia dianggap sudah sampai walaupun tidak terus kepada individu berkenaan,” tambahnya lagi.
Beliau juga berkata, tidak timbul jemputan berkenaan lewat memandangkan maklum balas kehadiran yang perlu sampai ke pihaknya adalah selewat-lewatnya 20 Ogos lalu. – HARAKAHDAILY 4/9/2022











