
ALOR SETAR: PAS telah melalui satu perubahan membanggakan sejak lebih setengah abad lalu di mana perkara tersebut tidak berlaku dalam Umno, demikian kata Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin.
Ceritanya, Muktamar PAS dalam tahun 1970-an dahulu perwakilan sungguhpun memperjuangkan Islam, namun berucap tanpa memulakan salam, perkara yang tidak sepatutnya berlaku.
Malah katanya, apabila Ustaz Hassan Shukri berucap menyebut ‘Allahu ghayatuna’ dianggap asing, tetapi di tahun 2022 ini, kalangan bukan-Islam Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) pun sudah menyebut perkataan Islamik.
Beliau berucap dalam ucapan penangguhan di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-68 di Dewan Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, Kompleks PAS Kedah, di sini sebentar tadi.
“(Perwakilan DHPP) Bercakap bab usrah, ta’awun, tafahum, takaful. Ingat mudah nak berubah begitu? 52 tahun dulu keadaan dia begitu, tapi 52 tahun sekarang yang bukan-Islam boleh ajar kita pula.
“Inilah kalau kita nak rasa bangga pun kita mesti anggap dan kita kena buat diri kita sebagai besi berani. Besi berani itu maksudnya segala besi buruk dia tarik habis pergi dekat dia,” ujarnya memberi perumpamaan.
Bercerita juga mengenai era 70-an dan 80-an di mana pertembungan Umno dan PAS begitu hebat di mana cukup teruk bergaduh dan masih ada ‘kepala-kepala’ Umno bersikap demikian hingga kini.
Bidasnya, mereka itu masih memperjuangkan agama suku dan politik suku sedangkan ia berkait akidah seolah-olah Islam cacat kerana tiada agama di dalamnya seperti manusia yang tiada sebelah tangan.
“Nak menghadap dengan Allah. Allah tanya di mana politik, tak bawa? Apa nak jawab? Dan siapakah yang menyelesaikan masalah umat Islam pada ketika itu?” ujarnya menujukan pujian kepada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, Tuan Guru Abdul Hadi berjaya menyelesaikan salah faham politik suku agama suku yang dituduh memecahbelahkan masyarakat, sedangkan beliau jugalah memperjuangkan agenda perpaduan ummah.
“Jadi kita nak kena ingat jasa untuk menghapuskan kefahaman salah dalam soal tasawur Islam, kita berjaya selesaikan. Maka, kejayaan itu adalah suatu yang tepat pada ketika dan waktunya. Amanat Hadi keluar pada tepat waktunya,” ujar beliau.
Katanya, pergaduhan dalam era itu menyebabkan PAS dituduh memecahbelahkan masyarakat, sedangkan PAS memberi ubat kepada punca masalah yang berlaku dalam kalangan rakyat.
Namun, dalam realiti ketika ini, cabaran dihadapi bukan lagi isu-isu seperti itu sebaliknya isu rasuah dan penyelewengan antara terbaharu RM6 bilion bagi pembinaan Kapal Tempur Persisir (LCS). – HARAKAHDAILY 4/9/2022




















