Penyatuan ummah, keseriusan kita – Nuridah

Ustazah Nuridah Mohd Salleh
- Advertisement -

Oleh SAIDAH HAIRAN

SIK: `Penyatuan Ummah, Menuju Kemenangan’ diangkat tema Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia sebagai peringatan penting kepada seluruh pendukung kebenaran yang bercita-cita mencapai kemenangan pada pilihan raya umum ke15.

Dengan tema ini, Dewan Muslimat PAS Malaysia menegaskan keseriusan untuk menang dengan usaha-usaha membawa Islam berdaulat ke persada Negara.

- Advertisement -

Ketuanya, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, perpecahan adalah satu bala yang boleh merosakkan semua amal kebajikan dan menghalang keberkesanannya membuahkan hasil.

“Apatah lagi, sekiranya perpecahan tersebut dikeruhkan lagi dengan pergaduhan sesama sendiri. Umat Islam hari ini mewarisi kemenangan dan kegagalan masa silam.

“Oleh itu, kita ada pilihan untuk dibentangkan kepada ummah, sama ada hendak mengembalikan kemenangan, atau terus menjadi generasi yang mewarisi kegagalan setelah era kemenangan,” katanya dalam ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ke62, di Dewan Al-Hana, di sini, pagi tadi.

Beliau berkata, rakyat berhadapan dengan kemelut politik lalang yang tidak berkesudahan, penghinaan demi penghinaan yang melampau terhadap Allah dan Rasulullah oleh individu yang mengaku Muslim.

Begitu juga kata beliau, penjajahan ekonomi akibat dominasi golongan kapitalis berkepentingan dan pelbagai lagi tragedi yang menimpa umat Islam.

Tambah beliau, kesedaran Islam (wa’yu Islami) juga kelihatan semakin bersemarak dalam memenuhi kesyumulan Islam dengan pelbagai bentuk aktiviti Islamik dan semakin terserlah dengan kelebihan media sosial pada hari ini.

Katanya, kedudukan Islam sebagai dasar perjuangan PAS yang termaktub dalam perlembagaannya, menunjukkan PAS tetap konsisten mengajak manusia bersatu dengan tali Allah.

Menurut beliau, perkara ini merupakan agenda utama dan fokus yang diwajibkan terlebih dahulu kepada seluruh ahli PAS pada setiap peringkat.

Perjuangan PAS katanya, diasaskan atas prinsip menegakkan Islam, yang menjadi agenda wajib ahli-ahli PAS sejak dahulu, kini dan selamanya walau zaman berubah dan rakan politik bertukar.

Beliau berkata, penubuhan PAS adalah aplikasi tuntutan wehdah hasil kesedaran para ulama’ ‘amilin pada saat berhadapan dengan gerakan penjajahan barat ke dalam dunia Islam.

“PAS bukan sekadar sebuah parti politik yang berdaftar mengikut lunas undang-undang negara dengan meletakkan Islam sebagai dasar dan aqidah perjuangannya.

“Malah, sejak awal penubuhannya, PAS terus melengkapkan ciri-cirinya sebagai sebuah harakah Islamiah, kerana inilah manhaj dakwah yang diambil daripada petunjuk al-Quran dan Sunnah Nabawiah bagi menghadapi pelbagai cabaran gelombang ideologi yang bercambah-cambah saat ini,” ujarnya.

Kata beliau, kegagalan memahami perkara dasar inilah sebenarnya yang menyebabkan kekacauan fikrah dalam kalangan pemimpin dan ahli PAS di kala kita dilingkungi oleh krisis politik yang tidak berkesudahan.

“Kita sentiasa menyatakan kepada seluruh ahli bahawa dasar PAS ialah Islam dan tujuan PAS adalah untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan Islam.

“Dewan Muslimat PAS turut mengajak seluruh rakan politik dan NGO di luar sana bersama berganding bahu membangunkan Negara menerusi pelbagai formula penyatuan.

“Walaupun PAS mengalami jatuh bangun dan pahit manis dalam merealisasikan pelbagai formula penyatuan, PAS terus tidak berganjak sehingga ke hari ini bagi menyuarakan seruan kesatuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/22

- Advertisement -