
“WAJIB tak datang muktamar? Datang muktamar ni wajib tau?” demikian tanya Abdullah Azzam Hanafi kepada adik-adiknya saat menjejak kaki di pintu Dewan Konvensyen Hotel Raia.
Ketika para perwakilan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-63 baru tiba untuk hari kedua dan terakhir sidang tahunan ini, si cilik ini jelas begitu teruja dapat turut hadir.
Sebaik turun dari kereta bersama ibu ayahnya, segera dia menerpa ke kain pemidang yang tergantung menghias sekitar kawasan dewan dan bertubi-tubi bertanyakan soalan tadi.
Lalu, dia sendiri bingkas menjawab, ‘Wajib datang!”, cuba memahamkan adik-adiknya yang mungkin belum mengerti hal tersebut, namun Abdullah Azzam sendiri sudah tujuh kali hadir.
Beritahu pelajar Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Subang berusia 9 tahun ini, beliau dapat menemui ramai pemimpin PAS di program seperti ini di mana memperolehi banyak ilmu.
“Dapat dengar ceramah agama, nanti boleh kongsi cerita dengan kawan-kawan dalam PAS ada banyak aktiviti,” katanya yang dilihat tahu secara umum mengenai aktiviti-aktiviti kebajikan PAS.
Antara disebutnya mengenai bantuan kepada orang miskin, selain mengadakan acara seperti sukan dan lain-lain.
Azzam mengakui pernah berpeluang bertemu dan bersalam dengan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa kecil iaitu ketika Himpunan Fastaqim di Terengganu dahulu.
Ditanya cita-cita, anak sulung daripada lima beradik ini bercita-cita menjadi seperti ayahnya seorang ustaz dan berharap dapat belajar tinggi agama ke Universiti Al-Azhar di Mesir.
Menurutnya, dia mahu menyampaikan Islam dan terlibat dalam PAS untuk berkhidmat kepada orang ramai dan sememangnya berasa begitu seronok dengan pelbagai aktiviti disertai dan dilaksanakan di dalam PAS.
Abdullah Azzam merupakan anak kepada Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hanafi Zulkifli yang juga mantan Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor sesi lalu. – HARAKAHDAILY 2/9/2022











