
Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN
Tidak beraksi hampir 14 bulan, namun bekas pemain tenis nombor satu dunia, Roger Federer, mengekalkan kedudukannya sebagai pemain meraih pendapatan tertinggi dunia untuk tahun ke-17.
Mengikut Forbes, pemain berusia 41 tahun itu tidak beraksi sejak kejohanan Wimbledon tahun lalu selepas pembedahan lututnya, mengganggu pemain hebat Switzerland itu yang kini menghampiri penghujung kerjayanya.
Bagaimanapun, juara Grand Slam 20 kali itu masih mengaut anggaran AS$90 juta sebelum cukai dan yuran ejen sejak 12 bulan lalu untuk mendahului senarai dengan wang datang dari pelbagai sumber seperti bayaran penampilan dan usaha perniagaan lain.
Naomi Osaka dari Jepun, yang memenangi empat kejohanan utama, berada di tempat kedua dalam senarai itu selepas memperoleh kira-kira AS$56.2 juta pada tahun lalu.
Pemain berusia 24 tahun itu melancarkan syarikat media baharu dengan kerjasama juara NBA empat kali, LeBron James dan sebuah agensi sukan baharu pada Jun lalu.
Dia adalah pemain tenis wanita menerima bayaran tertinggi, lebih 23 kali ganda berbanding pemenang Grand Slam, Serena Williams, yang akan bersara selepas Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang bermula minggu depan.
Williams memperoleh AS$35.1 juta tahun ini, mengatasi bekas pemain nombor satu lelaki, Rafa Nadal (AS$31.4 juta) dan Novak Djokovic (AS$27.1 juta).
Juara Terbuka AS, Emma Raducanu membuat penampilan pertamanya dalam senarai itu selepas terkenal tahun lalu apabila muncul sebagai pemain kelayakan pertama dalam Era Terbuka untuk merangkul gelaran Grand Slam.
Remaja Britain itu berada di tempat keenam dalam senarai dengan AS$21.1 juta manakala juara Terbuka AS lelaki dan pemain nombor satu dunia, Daniil Medvedev berada di tempat ketujuh dengan AS$19.3 juta.
Kei Nishikori (AS$13.2 juta) dan Venus Williams (AS$12 juta) berada di tempat kelapan dan kesembilan, manakala pemain sensasi Sepanyol, Carlos Alcaraz (AS$10.9 juta) berada di kedudukan 10 teratas.




















