
Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN
Pakistan akan menyediakan pasukan tentera negara itu untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan Piala Dunia FIFA yang dijadualkan diadakan di Qatar, November ini.
Kabinet Pakistan meluluskan draf perjanjian antara negara itu dan Qatar untuk penyediaan pasukan tentera sepanjang acara sukan paling besar di dunia.
Perkembangan ini berlaku menjelang lawatan Perdana Menteri Shehbaz Sharif ke Qatar. Sharif tiba di Doha, Selasa lalu dalam lawatan pertamanya ke Qatar selepas memegang jawatan Perdana Menteri pada April.
Beliau juga melawat ‘Stadium 974’ di Doha dengan pegawai Qatar memberi taklimat kepadanya mengenai persiapan mengadakan Piala Dunia FIFA.
Semalam, Sharif diterima oleh Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, di Amiri Diwan, iaitu pejabat pentadbiran Emir.
Ketika pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Qatar, Sheikh Khalid bin Khalifa bin Abdulaziz Al Thani pada hari Selasa, Sharif mengucapkan tahniah kepada Qatar atas penganjuran Piala Dunia FIFA 2022 dan mengucapkan selamat maju jaya kepada rakyat dan kerajaan Qatar dalam acara sukan terbesar di dunia.
Kedua-dua pemimpin menegaskan keazaman mereka untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala, terutama dalam perdagangan dan pelaburan.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Pakistan, Sharif turut menggariskan minat kerajaannya untuk mempelbagaikan penglibatan dengan Qatar dalam sektor tenaga, infrastruktur, pengangkutan, pertanian, ternakan dan pelancongan.




















