Pengampunan jenayah dari perspektif Islam dan Perlembagaan Malaysia

- Advertisement -

MENURUT Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkuasa memberi ampun (pardon), tunda hukum (reprieves) dan lega hukum (reprites) berkenaan dengan kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan dan kesalahan di bawah Mahkamah Tentera.

Manakala Raja atau Yang Di-Pertua Negeri mempunyai kuasa yang sama bagi kesalahan yang berlaku di negeri masing-masing. Misalnya, jika jenayah itu berlaku di Kangar, Perlis, maka kuasa pengampunan itu adalah di bawah YAM Raja Perlis.

Walau pun kuasa ini diletakkan kepada YDPA, Raja-raja dan Yang Di-Pertua Negeri-negeri (YDPN), fasal (4) dan (11) dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Raja-raja dan YDPN serta YDPA melaksanakan kuasa ini melalui nasihat Lembaga Pengampunan Negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan.

Maksudnya dalam soal pengampunan ini, YDPA dan Raja-raja serta YDPN perlu bertindak berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan.

Siapakah anggota Lembaga Pengampunan? Menurut Perlembagaan, lembaga ini perlu dianggotai oleh Peguam Negara atau wakilnya, Menteri Besar atau Ketua Menteri atau Menteri Wilayah Persekutuan, dan tidak lebih tiga anggota lain yang dilantik. Mesyuarat lembaga ini perlu dipengerusikan sendiri oleh YDPA, Raja-raja atau YDPN.

Apabila kita membincangkan soal kuasa pengampunan ini, adalah wajar untuk kita meneliti lebih mendalam berkenaan kuasa ini. Memandangkan YDPA dan Raja-raja juga adalah ketua bagi agama Islam, maka timbul persoalan sama ada kuasa pengampunan ini mempunyai kaitan dengan ajaran Islam atau tidak.

Jika diteliti prinsip Islam dari sudut hukuman, kita dapati Islam menetapkan keadilan untuk semua tanpa sebarang pilih kasih. Keadilan adalah sesuatu yang wajib ditegakkan tanpa ada pengaruh kecenderungan kasih sayang atau permusuhan. Rasulullah S.A.W sendiri menyebut bahawa, jika anak kesayangannya Fatimah binti Muhammad yang mencuri, dia juga pasti akan dihukum dengan hukuman potong tangan.

Lebih jauh lagi konsep pengampunan dan kemaafan tertakluk kepada tahap-tahap yang berbeza-beza. Dalam Islam manusia mempunyai had dalam memberikan kemaafan dan pengampunan. 

Dosa yang melibatkan hak Allah seperti meninggalkan solat, atau kesalahan mencuri dan merompak yang terletak di bawah kategori hudud tidak boleh diampunkan oleh manusia. Manusia hanya boleh memaafkan kesalahan orang lain ke atas dirinya sendiri.

Pemerintah dalam Islam, memegang amanah Tuhan, bukannya mewakili kuasa Tuhan sebagaimana yang diamalkan dalam konsep pemerintahan Teokratik pada Zaman Pertengahan di Eropah. Oleh itu, dalam Islam, pemerintah tidak mempunyai kuasa pengampunan bagi mana-mana kesalahan jenayah. Jika ada pertimbangan untuk meringankan hukuman sekalipun, ia perlu dibuat mengikut kaedah yang jelas, telus dan adil.

Konsep pengampunan yang tersurat dalam Perlembagaan kita ini sebenarnya bukan dari tradisi Islam atau Kesultanan Melayu. Andrew Harding misalnya mengaitkan konsep ini dengan amalan ‘royal prerogative of mercy’ atau ‘prerogatif belas kasihan diraja’ yang wujud dalam sistem perundangan Inggeris sejak tahun 1617. 

Dalam kes, Sim Kie Chon lwn. Superintendent of Pudu Prison & Ors [1985] 2 MLJ 385, HB (Malaya) Abdul Hamid menyebut bahawa kuasa pengampunan adalah kuasa tinggi prerogative of mercy yang bersifat eksekutif tetapi sifatnya itu menjadikannya tidak boleh diganggu atau diubah oleh kajian semula kehakiman. Pendirian yang serupa juga dibuat dalam kes Juraimi Bin Husin lwn. Lembaga Pengampunan, Negeri Pahang & Ors [2001] 3 MLJ 458.

Berdasarkan perbincangan di atas, kita dapat simpulkan bahawa kuasa pengampunan yang ada menurut Perlembagaan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana ia kelak pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Jika hendak digunakan sekali pun ia perlu berasaskan prinsip yang jelas, adil dan telus. 

Perlu ada panduan berkenaan kelayakan pengampunan, misalnya untuk mereka yang telah menjalani hukuman dalam tempoh yang setimpal, dan terbukti telah insaf atas kesalahan yang dilakukan. Yang pasti, kuasa pengampunan ini tidak boleh tunduk kepada kuasa politik. Kita tidak mahu lagi tanggapan bahawa pesalah dari kalangan ahli politik akan berpeluang untuk bebas semata-mata kerana partinya menang dalam pilihan raya mengambil alih pemerintahan. 

PROF. MADYA DR. MUHAMMAD FATHI YUSOF
Pensyarah Kanan Undang-undang dan Polisi 
Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur – HARAKAHDAILY 25/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -