Tiada tawaran rasmi lagi Cheng Hoe kendali Perak FC

- Advertisement -

IPOH: Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe berkata setakat ini tiada tawaran rasmi berhubung desas-desus beliau mengemudi Perak FC untuk mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Meskipun mengakui berlaku pertemuan bersama pihak pengurusan Perak FC tiga hari lepas namun menurutnya ia tidak menjurus ke arah perkara membabitkan perancangan kelab berkenaan.

- Advertisement -

“Pada asalnya, tiada pun perancangan hendak berjumpa pihak pengurusan Perak FC. Ia berlaku secara kebetulan dan perjumpaan itu pun hanya sekadar berbual kosong tanpa ada perkara yang serius.

“Bagaimanapun, kalau ada rezeki saya bersedia kembali dalam arena kejurulatihan untuk membimbing mana-mana pasukan termasuk kelab di Asia Tenggara. Cuma, persetujuan antara kedua-dua pihak itu perlu diutamakan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada 18 Julai lepas, Cheng Hoe dilapor menepis dakwaan bahawa beliau bakal dilantik sebagai pengendali Selangor FC bagi menggantikan tempat jurulatih dari Jerman Michael Feichtenbeiner yang gagal menampilkan prestasi memberangsangkan.

Namun, timbul desas-desus baharu mengaitkan jurulatih berasal dari Kedah itu bakal mengemudi The Bos Gaurus selepas tular gambar perjumpaan antara beliau bersama pihak pengurusan Perak FC di media sosial.

Untuk rekod, kali terakhir Cheng Hoe menguruskan pasukan Liga-M ialah ketika mengendalikan pasukan Kedah Darul Aman pada musim 2017 sebelum diserap ke dalam staf kejurulatihan pasukan negara yang ketika itu diterajui pengendali dari Portugal Nelo Vingada.

Bersama skuad Helang Merah, Cheng Hoe membimbing pasukan itu memenangi gelaran Liga Perdana pada 2015 disusuli Piala Malaysia pada 2016 selepas menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti di pentas akhir kejohanan tersebut. – BERNAMA

- Advertisement -