
HUKUMAN terhadap bekas Perdana Menteri beberapa hari lepas menunjukkan rakyat perlukan pemimpin yang bersih dan berintegriti dalam memimpin negara.
Malangnya hari ini kita lihat pemimpin semua parti telah berhadapan dengan kes korupsi, penyelewengan, pengubahan wang haram dan sebagainya.
Bermula dengan parti yang tertua, hingga parti termuda. Masing-masing pemimpin berhadapan dengan kes integriti ini di mahkamah.
Namun, di celah kekalutan kes-kes yang dihadapi oleh pemimpin politik ini, tertonjol sebuah parti yang sehingga kini masih bersih dan menjunjung tinggi nilai integritinya. Yakni, Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Pentadbiran PAS di Kelantan selama 32 tahun tanpa kes sabitan rasuah, penyelewengan dan pecah amanah merupakan satu pencapaian yang membanggakan.
Prestasi ini wajar dikekalkan, jika anak cucu negara pada masa akan datang bertanya, kita masih mempunyai PAS dan Kelantan sebagai jawapan bahawa nilai integriti masih wujud di Malaysia.
Di bawah pentadbiran YAB Menteri Besar, Ustaz Ahmad Yakob pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjaga nilai integriti ini di Kelantan agar kekal sebagai sebuah warisan dan maruah diri rakyat Kelantan.
Selain daripada Penganjuran Hari Integriti setiap tahun bermula dari 2008, Konvensyen Integriti Negeri Kelantan dan kempen-kempen kesedaran yang lain.
Kelantan juga telah melancarkan Pelan Anti-Rasuah Kelantan (KACP) 2020-2024 yang menetapkan enam strategi utama bagi menangani risiko rasuah dalam bidang yang berisiko tinggi.
Lebih menarik lagi Pejabat SUK Kelantan telah mendapat pensijilan MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (SPAR) daripada SIRIM QAS International.
Pensijilan ini juga meliputi 3 polisi iaitu Polisi Anti Rasuah, Polisi Hadiah dan Polisi Pemberi Maklumat.
Usaha ini telah meliputi proses pendidikan, kempen kesedaran, pembangunan polisi dan pelan, pengiktiran badan autoriti dan penguatkuasaan.
Pun begitu, perkara yang lebih dan paling besar dalam apa jua pendekatan, polisi dan dasar adalah komitmen pelaksanaan daripada kepimpinan.
Alhamdulillah, kepimpinan Kelantan di bawah PAS sangat komited untuk membasmi isu integriti ini dan ianya sudah pun terbukti.
Malah kepimpinan negeri sentiasa membuka ruang untuk sebarang siasatan badan autoriti dalam membasmi masalah rasuah terbuka 25 jam sehari.
Sebagai anak muda kita berharap nilai integriti sebegini dapat diterapkan dalam kepimpinan di peringkat Kerajaan Persekutuan pula. Insya-Allah, PAS dan Kelantan telah menunjukkan contoh yang terbaik dalam perkara ini.
AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 25/8/2022




















