Kelantan sedang pesat membangun? (Siri 2)

Limpahan kemakmuran di bawah pentadbiran Dato’ Ahmad Yakob

- Advertisement -

BERMULA tahun 1990, pembangunan fizikal di Kelantan secara tiba-tiba menjadi terhenti dengan mendadak di mana banyak projek telah sedia diluluskan peruntukannya turut dibatalkan.

Almarhum mantan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sikitpun tidak tergugat dengan sikap pemerintah Kerajaan Persekutuan yang menganaktirikan Kelantan pada ketika itu.

Perbezaan politik telah menjadi perseteruan dan dendam. Justeru aspek kesan serta impak perlu dipandang serius apabila rakyat menjadi mangsa atas ketidakmatangan dan ketidakadilan Pusat terhadap negeri.

Baharu sahaja PAS kembali memerintah Kelantan sekali lagi selepas dirampas selama 12 tahun dari ‘gerakan darurat’ setelah sebelumnya PAS menerajui selama 18 tahun, Perdana Menteri ketika itu sudah merasa tergugat.

Pun demikian, tanpa pembangunan fizikal, rakyat Kelantan tetap terbangun jiwa dan mindanya, serta menjalani kehidupan yang penuh bahagia bersendi syariat dipimpin seorang ulamak sebagai Menteri Besarnya.

Walau diejek miskin dan pelbagai konotasi negatif terhadap rakyat dan negeri, Kelantan yang turut digambarkan mundur ini hanya dalam kurang satu dekad telah memunculkan pelbagai pendekatan dalam pentadbirannya.

Menarik sekali biarpun acap kali ucapan menjelik dihamburkan tidak hanya di pentas politik dan media arus perdana, tetapi juga Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang mulia, tapi akhirnya Kelantan dicontohi dalam banyak aspek.

Kini banyak hal tersebut telah dilaksanakan di peringkat Persekutuan seperti akaun kewangan syariah, cuti wanita bersalin, cuti kematian, penutupan premis judi, menghadkan jualan arak dan banyak lagi yang bermula dari Kelantan.

Apabila tidak berlakunya lagi sekatan kerana perbezaan parti dan keterbukaan baharu dimensi politik negara, Kelantan menerima curahan pembangunan sangat pesat hingga mengejutkan mereka yang skeptikal kepadanya.

Jika wajah Ibu Kota Kuala Lumpur dilihat sentiasa sahaja berubah bagi mereka yang berkunjung untuk beberapa bulan sekali, seperti itulah lebih kurangnya kerancakan pembangunan di Kelantan dalam tiga tahun mutakhir ini.

Antaranya, Pembangunan Segitiga Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) yang ditubuhkan tahun 1993 dahulu akan direaliasasikan dalam tempoh lima tahun ini dengan Kelantan sebagai pusatnya.

Ia akan berlaku hasil pelaburan projek berimpak tinggi selain menjadi hab halal untuk rantau ini menerusi Pasir Mas Halal Park (PMHP) yang semakin berkembang serta menjadi pengeksport utama ke Timur Tengah.

Pelbagai pembangunan diadakan nanti akan turut didukung dengan teknologi semasa terutamanya dari kewujudan kompleks digital yang turut berkonsep hiburan sukan melibatkan kos RM6 juta di kawasan seluas 23 hektar di Ketereh.

Malah, meneguhkan peranan Persekutuan di negeri ini, Kerajaan Pusat turut bersetuju meluluskan peruntukan RM576 juta bagi membina bangunan guna sama menempatkan Kompleks Pejabat Kerajaan Persekutuan dan pelbagai jabatan lain di Bandar Baru Tunjong yang dijangka siap pada Julai 2024.

Ketika sama, isu yang cukup membelenggu Kelantan selama ini iaitu perkhidmatan perbekalan air bersih dan banjir, telah menerima kelulusan Persekutuan hampir RM7 bilion dan sedang dalam proses pembinaan, baik pulih, penukaran paip, peningkatan keupayaan loji dan lain lain.

Menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar pula, sejumlah RM2.6 bilion diluluskan untuk Kelantan melibatkan sebanyak 88 projek merangkumi 64 projek sambungan dan 24 projek pembangunan baharu.

Begitu juga di bidang kesihatan, sebanyak RM427.91 juta diperuntukkan untuk membina 12 projek hospital dan klinik baharu, tidak termasuk membuka semula hospital lama, serta pertambahan katil atau meluaskan perkhidmatan.

Malah sebenarnya, antara tahun 2018 hingga Julai 2022 lalu, Kelantan berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM6.3 bilion melalui usaha Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dari sasaran sehingga tahun 2025 sebanyak RM9.5 bilion.

Mengejar cepat dan mengseimbangkan Kelantan dengan negeri di sebelah Barat Semenanjung, sebanyak RM6.4 bilion telah diluluskan untuk pelaksanaan 54 projek infrastruktur dan pembangunan di bawah Kementerian Kerja Raya.

Ia termasuk Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) yang dilihat banyak menyuntik impak sangat besar kepada pertumbuhan ekonomi rakyat dan Negeri Kelantan selepas ini.

Begitu juga Jejambat Wakaf Bharu sepanjang 1.56 kilometer dengan nilai kos RM105.5 juta bermula dari jalan Kota Bharu ke jalan Pengkalan Kubor yang bakal siap November nanti, akan melancarkan aliran trafik, sekali gus memangkin ekonomi setempat.

Selain itu, Kelantan turut menerima peruntukan Kementerian Dalam Negeri sebanyak RM40 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh empat tahun untuk Program Bandar Selamat bagi diagihkan ke 24 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Tidak ditinggalkan adalah pertanian yang kekal menjadi iltizam Kelantan sejak 32 tahun lalu di mana bergerak bersama rakyatnya untuk menjadikan negeri ini Jelapang Makanan Negara.

Pelan Tindakan Strategik Pertanian Kelantan bersungguh menyokong Dasar Sekuriti Makanan Negara dengan terus menjadikan pertanian sebagai penyumbang utama pertumbuhan ekonomi dan bagi tujuan keselamatan makanan.

Atas intervensi menaiktaraf sektor ini untuk terus mengimbangi pembangunan sedang dijalankan, sebanyak RM10 juta telah disediakan bagi pelan selama 5 tahun (2021-2025) itu.

Selain sebanyak RM20 juta diperuntukkan melalui ECERDC bagi aspek pembangunan pelancongan dan pemuliharaan seni warisan budaya dan sejarah yang wujud di negeri ini membabitkan antaranya projek Laman Warisan Kampung Laut, Laman Warisan Serunding dan Laman Warisan Seni.

Menarik sama apabila buat julung kali Kelantan bakal menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) di mana dengan itu telah membolehkan ia menerima peruntukan bagi bandar sukannya yang dilengkapi pelbagai kemudahan berkaitan.

Semua ini juga tidak termasuk pembangunan Tok Bali sebagai pusat pertumbuhan baharu yang telah diperincikan dalam tulisan khusus sebelum daripada ini.

Banyak lagi jika mahu disenaraikan peruntukan tersebut yang menyebabkan ledakan kepesatan pembangunan sedang dapat dilihat ketika ini melibatkan kemudahan untuk masa depan rakyat seluruhnya.

Walaupun tidaklah wujud semegah bangunan pencakar langit dan canggih atau berteknologi tinggi seperti wujud di Wilayah Persekutuan, tetapi semua ini membantu kelancaran urusan dan kehidupan rakyat dan pentadbiran pemerintahan.

Juga banyaknya limpahan ekonomi bakal wujud untuk penduduk tempatan dan hampir 10,000 peluang pekerjaan bakal dijana kelak nanti.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 23/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -