
UCAPAN oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Ustaz Ahmad Yakob sempena Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan Pidato Ekonomi Sunnah ‘Penggerak Pembangunan Ummah’, sebulan lalu telah begitu mendapat perhatian media.
Banyak pihak menyiarkannya, dan untuk beberapa hari ucapan mengenai lonjakan besar pembangunan ekonomi bakal diterima Kelantan itu menjadi ‘trending’ di media massa. Mungkin ramai masih merasa ‘asing’ untuk mendengar perkataan pembangunan disebut sekali dengan Kelantan.
Ramai yang barangkali masih sangsi wujudnya pembangunan di Kelantan dan ia sesuatu kemustahilan seolah-olah negeri Cik Siti Wan Kembang ini berada di planet lain. Kesian ke kami rakyat Serambi Makkah ini jika ada rakyat Malaysia di era milenium ini masih berstigma sebegitu.
Marilah sekali datang bermusafir menginap beberapa hari dan meneroka sendiri segala keunikan yang ada di negeri kami ini. Insya-Allah kalian tidak akan terjerumus ke dalam terowong masa atau berpindah ke alam bunian. Negeri Kelantan berada di bumi nyata menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.
Sebaliknya kalian akan melihat realiti pembangunan di Kelantan jauh dari momokan yang ditanam di minda kebanyakan orang luar negeri ini. Dipersepsi dan diburukkan Kelantan bagaikan negeri ini mundur seperti berada di zaman sebelum merdeka. Ya, masih ada ‘kepercayaan’ itu, tak tahu nak sedih atau ketawa.
Semua itu ditanam sebagai satu doktrin dan propaganda politik sebabnya rakyat Kelantan sejak tahun 1990 memilih PAS menerajui negeri ini. Sedangkan sejak itu Kelantan bergerak seiring slogan ‘Membangun Bersama Islam’. Segala dilakukan adalah dengan meletakkan Islam sebagai keutamaan.
Jika mahu diukur pembangunan fizikal diadakan sendiri dengan pembiayaan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, ia secara bandingan dilihat lebih baik dari beberapa negeri lain yang menerima limpahan peruntukan Kerajaan Persekutuan. Di negeri tanpa perlu disebutkan, rakyatnya hidup lebih daif tanpa prasarana asas.
Tetapi jika pembangunan fizikal mahu dijadikan kita sebagai perkiraan, mungkin sahaja tunggu setiap inci tanah dibina bangunan batu, simen, konkrit, kaca, besi atau komponen teknologi tinggi moden lainnya. Baru waktu itu kita terasa puas dan menjuarai, begitu?
Kami di Kelantan tidak menolak kemahuan untuk kemajuan pembangunan seperti itu, tetapi yang diletakkan adalah keutamaan. Prasarana infrastruktur awam atau kemudahan keperluan rakyat secara asasnya ada dan tidak terlalu daif, bahkan lebih baik dari negeri lain.
Cuma mungkin kurang penyelenggaraan atau mungkin kurang menarik kerana peruntukan Pusat yang sering dinafikan kepada kami untuk diberikan dahulu. Tetapi yang penting adalah aspek kehidupan rakyat Kelantan lebih terpimpin, terbimbing dan terarah sejak tahun 1990 itu.
Dari sudut sosioekonomi, tahap berdikari dan kesungguhan usaha rakyat begitu tinggi hingga memiliki kemampuan dan kuasa beli untuk kehidupan harian. Sebab itu contohnya, restoran McDonald’s begitu awal dibuka di Kota Bharu ketika banyak bandar-bandar di negeri lain belum memilikinya.
Begitu juga jenama-jenama antarabangsa di gedung besar di Kuala Lumpur, juga mempunyai ‘outlet’ di ‘mall-mall’ di Kelantan yang tidak terdapat jualannya di negeri lain. Tentulah syarikat berkenaan mempunyai pasaran di negeri ini dari keupayaan dimiliki pembeli di sini.
Itu sepintas sahaja, banyak lagi indikator lain kepada petunjuk pembangunan di Kelantan. Namun secara jelasnya, pembangunan yang lebih didahulukan Kerajaan PAS Kelantan adalah kepada aspek insan di mana ia selari dengan acuan Islam yang berzaman dibawa Nabi Muhammad S.A.W.
Dari diri individu rakyat yang ‘dibangunkan’ inilah menginspirasikan pula pembangunan dalam segenap bidang atau sektor termasuk pembangunan fizikal. Kini limpahan pembangunan pesat dalam pelbagai bidang itu membolehkan sesiapa sahaja memenuhi keperluan atau hasratnya di Kelantan.
Begitulah pengenalan pembangunan Kelantan secara asas umumnya. Bagi perinciannya insya-Allah akan dikemukakan dalam tulisan seterusnya. Bersambung Siri 2…..
NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 21/7/2022











