Florita paksa sekolah kembali ditutup selepas sehari dibuka

Beberapa pelajar menaiki bot pada hari pertama kelas diadakan secara bersemuka selepas sekolah mereka dilanda banjir di Macabebe, wilayah Pampanga, Filipina pada 22 Ogos 2022. (FOTO CNN)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

MACONANON, Filipina: Ribut siklon tropika, Florita menyebabkan sekolah kembali ditutup di seluruh utara Filipina pada hari ini, Selasa (23 Ogos), sehari selepas pembelajaran secara bersemuka dibuka semula bermula semalam susulan persekolahan ditutup sejak tahun 2020 disebabkan pandemik Covid-19.

Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (PAGASA) berkata, Florita telah melanda Maconacon, di wilayah Isabela pada jam 10.30 pagi waktu tempatan, lapor CNN.

- Advertisement -

Sementara jabatan kaji cuaca Filipina mengeluarkan kenyataan bahawa hujan lebat dijangka melanda sebahagian besar Luzon utara  –  pulau terbesar dan paling ramai penduduk di negara itu  – dengan amaran bakal berlaku kejadian banjir besar dan tanah runtuh secara berleluasa.

Sehubungan itu, menurut kenyataan yang disiarkan di Facebook oleh Setiausaha Akhbar Presiden Ferdinand Marcos Jr., semua sekolah awam ditutup selama dua hari bermula hari ini (23 Ogos) di wilayah ibu negara, termasuk Manila, dan wilayah Cavite, Laguna, Rizal, Bulacan, Zambales dan Bataan.

Ia berikutan pada hari pertama persekolahan semalam (22 Ogos) beberapa buah sekolah yang dihadiri pelajar telah dibanjiri air banjir yang memenuhi bilik darjah mereka, khususnya di Abuyug, Cagayan akibat hujan sederhana yang turun susulan kemunculan Florita.

Pihak berkuasa juga telah memindahkan lebih 540 orang ke pusat perlindungan dan amaran banjir telah dikeluarkan untuk wilayah Zambales, Tarlac, Bataan dan Pampanga.

Sebuah bilik darjah di Sekolah Menengah Kebangsaan Libertad di Abulug, Cagayan, Filipina dibanjiri air pada pagi hari pertama tahun persekolahan baharu berikutan hujan akibat kemunculan Florita pada 22 Ogos 2022. (FOTO CAGAYAN PIO)

Sementara gambar-gambar dari Pampanga pada Isnin (22 Ogos) menunjukkan beberapa pelajar menghabiskan hari pertama mereka kembali ke sekolah yang dibuka semula selepas lebih dua tahun belajar di rumah akibat pandemik Covid-19, hanya untuk berlindung di dalam bilik darjah yang dinaiki air ketika ribut siklon, Florita semakin hampir ke bahagian daratan.

Menurut Jabatan Pendidikan Filipina, lebih 28 juta pelajar kembali ke sekolah di seluruh negara pada  Isnin (22 Ogos), selepas sekatan terhadap pandemik Covid-19 mula yang dikenakan pada Mac 2020 ditamatkan bermula semalam. – HARAKAHDAILY 23/8/2022

- Advertisement -