Naik taraf insfrastruktur digital untuk tingkat ekonomi

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Kementerian Komunikasi dan Multimedia digesa agar menyegerakan peruntukan naik taraf infrastruktur komunikasi di Perlis menerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Perlis (PKENPs) sebagai pelaksana projek berimpak tinggi di negeri ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah, naik taraf insfrastruktur digital itu amat penting bagi meningkatkan ekonomi negeri.

- Advertisement -

“Ia sekali gus dapat menaik taraf sektor pertanian, kesihatan, pendidikan, pembuatan, peruncitan dan perkhidmatan khususnya di negeri ini.

“Malahan dengan terbinanya pemancar baharu di Perlis, penerimaan siaran televisyen digital turut menjadi lebih jelas,” titah baginda sempena perasmian Kompleks Jabatan Penyiaran Malaysia Perlis di sini, hari ini.

Baginda juga menzahirkan rasa bangga kerana Radio Televisyen Malaysia (RTM) sentiasa menjadikan Perlis sebagai model keharmonian.

“Sebagai sebuah negeri yang amat mengutamakan keharmonian dalam perpaduan masyarakat dan pembangunan, saya berbangga RTM sentiasa mencerminkan negeri ini sebagai satu model keharmonian yang positif,” titah baginda lagi.

Berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man. – HARAKAHDAILY 23/8/2022

- Advertisement -