
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, yakin terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, untuk menyelesaikan sebarang isu berkaitan Umno.
Beliau berkata, Perdana Menteri mempunyai kebijaksanaan untuk menyelesaikan desakan oleh pemimpin utama Umno supaya segera membubar Parlimen.
Sehingga kini, katanya Umno tidak mengeluarkan kenyataan rasmi selepas pemimpin parti itu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, malam tadi.
“Saya seorang yang berpegang dengan disiplin selagi mana tiada kenyataan rasmi dari pihak parti. Saya lebih suka mengambil sikap menunggu atau memberi komen terhadap berita yang sahih,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kompleks Jabatan Penyiaran Malaysia Perlis di sini, hari ini.
Perasmian disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Menteri Besar, Dato’ Seri Azlan Man.
Petang semalam, Umno mengadakan mesyuarat tergempar di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur. Ini diikuti dengan kunjungan pemimpin tertinggi Umno ke atas Perdana Menteri di Putrajaya.
Annuar yang juga Ketua Umno bahagian Ketereh berkata, perkara yang akan menimbulkan salah faham dalam politik wajar dielakkan.
“Kadang-kadang kita bincang sesuatu yang sumbernya tidak jelas sehingga menimbulkan polemik negatif,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/8/22




















