
KAMI berhimpun pada hari ini menuntut pihak berkuasa dan kerajaan agar:
1. Mengambil tindakan tegas dan keras kepada mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat agama Islam di negara ini dengan apa cara sekali pun sebagaimana penghinaan yang berlaku di Crackhouse Comedy Club.
2. Mengambil langkah perlu dan segera bagi menyekat anasir Liberal sama ada dalam dan luar negara yang cuba membuat rancangan-plot menghina agama Islam dengan secara terancang dengan menggunakan orang Islam dan platform media sosial dan lain-lain medium.
3. Menggesa pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta agensi-agensi berkaitan seperti JAKIM, JAWI dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAN) agar segera bertindak bagi menangani kes penghinaan agama Islam di negeri masing-masing.
4. Himpunan hari ini amat kesal dengan perbuatan Siti Amirah Natasya dan pihak-pihak lain yang bersekongkol dengannya yang sanggup menghina agama sendiri dan menuntut beliau segera insaf dan menyesali perbuatannya dengan segera bertaubat dan memohon maaf kepada umat Islam.
5. Mendesak pihak berkuasa PDRM, SKMM dan Pihak Berkuasa Negeri mendakwa dan mengenakan tindakan yang keras dan maksimum agar kes seperti ini menjadi pengajaran kepada pihak tertentu yang menjadi dalang dalam penyediaan ‘content’ dan platform seperti berlakunya kes penghinaan agama Islam di Crackhouse Comedy Club.
6. Menuntut semua pihak menghormati sensitiviti agama Islam dan agama-agama yang lain serta kaum di negara ini bagi memelihara keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.
MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
22 Julai 2022 bersamaan 22 Zulhijjah 144H – HARAKAHDAILY 22/7/2022
























