
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Ketika kejadian Che Madiran Che Ali, 62, yang baru pulang dari tempat kerjanya di Batu 2 tiba-tiba terhidu bau hangit sebelum bergegas masuk ke dalam rumah untuk memeriksa.
“Saya terkejut dan panik melihat percikan api di ruang tamu tetapi sempat mengambil televisyen sebelum api marak ke bahagian lain.
“Ketika usaha menyelamatkan barang yang sempat dicapai, lengan saya turut melecur akibat terkena api,” katanya ketika ditemui.
Che Madiran merupakan mangsa kebakaran yang melibatkan tiga rumah di Kampung Bunut Payong Selasa lalu.
Kebakaran yang berlaku itu menyebabkan semua mangsa hanya tinggal sehelai sepinggang.
Manakala isterinya, Norila Deris, 54, pula memberitahu, ketika kejadian beliau tiada di rumah kerana sedang bekerja di kedai runcit tidak jauh dari rumahnya.
“Saya terima panggilan daripada adik ipar, Noriza Kadir, 50, kira-kira jam 1.30 petang dan menyuruh pulang ke rumah dengan segera.
“Saya terkejut apabila melihat rumah kami musnah dan hanya tinggal sehelai sepinggang,” ujarnya.
Mangsa-mangsa kebakaran terbabit menerima sumbangan segera disampaikan
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Keluarga dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md Nawi.
Mereka juga dibantu Adun Bunut Payong Dato’ Dr Ramli Mamat dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mumtaz berkata, beliau sedih mendengar kisah anggota keluarga mangsa kebakaran terbabit yang hilang segala barangan persediaan majlis perkahwinan yang sepatutnya diadakan Oktober hadapan.
“Mungkin kejadian ini ada hikmahnya dan mari kita berdoa semoga Allah gantikan barangan yang hilang dengan rezeki lebih baik,” ujarnya ketika melawat mangsa kebakaran semalam.
Turut hadir Pengarah Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KekWa) Ilvira Mohd Dasuki dan Skuad Kita Cakna Bunut Payong. – HARAKAHDAILY 22/7/2022











