Festival larian lembu jantan Sepanyol: 23 maut

Demi keseronokan dan pulangan kewangan yang lumayan, festival larian lembu jantan kembali diadakan di Sepanyol selepas tidak berlangsung sepanjang pendemik Covid-19, biarpun sering menyebabkan kecederaan dan kematian dalam kalangan orang ramai yang menyertainya. (FOTO english.elpais.com)
- Advertisement -

Susunan  ZULHAIDI MANSOR

MADRID: Sejumlah 23 individu maut termasuk tiga kes terbaharu dalam tempoh lapan tahun yang lalu  akibat kecederaan parah yang dialami dialami ketika berlangsung festival larian lembu jantan di timur Sepanyol.

Dalam kejadian terbaharu, tiga lelaki meninggal dunia dalam tempoh 24 jam di hospital Valencia, di sini, apabila ditanduk beberapa ekor lembu jantan ketika ketiga-tiga mereka mengambil bahagian dalam  festival bous al carrer (larian lembu) tradisional di situ.

- Advertisement -

Kumpulan hak asasi haiwan sudah lama memberi amaran tentang risiko bahaya festival  berkenaan kepada orang ramai dan juga haiwan terbabit, lapor BBC.

“Seramai 20 orang telah meninggal dunia di wilayah Valencia dalam tempoh lapan tahun yang lalu, sebelum ketiga-tiga lelaki dalam kes terbaharu ini meninggal dunia yang mana  kesemuanya cedera parah semasa kejadian dalam dua minggu lalu,” ujar kenyataan kumpulan  hak asasi haiwan berkenaan. 

Dalam salah satu kejadian terbaharu itu, di Picassent, selatan bandar Valencia, seorang lelaki berusia 56 tahun yang berdiri di belakang blok di tengah jalan telah dilambung lembu jantan ke udara dan mengalami kecederaan otak traumatik. 

Lelaki itu meninggal dunia pada Selasa (19 Julai)  di hospital di Valencia, sembilan hari selepas kejadian itu.

Orang ramai yang menyertai festival larian lembu jantan di Sepanyol langsung tidak memikirkan risiko cedera atau maut akibat ditanduk haiwan terbabit. (FOTO CBSNews)

Seorang lagi lelaki, berusia 50 tahun, turut meninggal dunia di hospital selepas paru-parunya tertusuk seekor lembu jantan di Meliana, utara Valencia; dan mangsa ketiga ialah seorang pelawat Perancis berusia 64 tahun meninggal dunia pada Isnin (18 Julai) akibat kecederaan yang dialaminya pada festival di Pedreguer.

Datuk Bandar Meliana berkata, lembu jantan itu sememangnya haiwan dan kemalangan jiwa  adalah risiko yang perlu ditanggung oleh orang ramai apabila mengambil bahagian dalam festival membabitkan haiwan berkenaan di Sepanyol.

Festival larian lembut jantan paling terkenal di Sepanyol, San Fermin yang berlangsung di Pamplona, menyaksikan 35 kecederaan pada tahun ini. 

“Ia adalah kali pertama diadakan dalam tempoh tiga tahun, disebabkan pandemik Covid-19 sebelum ini,” ujar laporan BBC.

Demi keseronokan dan pulangan kewangan yang lumayan, penganjur festival larian lembu jantan tidak memandang serius soal keselamatan orang ramai yang menyertainya. (FOTO ABCnews)

Pertubuhan haiwan Sepanyol (Pacma) dalam pada itu mengulangi gesaannya agar memansuhkan festival larian lembu jantan di Sepanyol, dengan mengkritik penganjur tiga festival di Valencia kerana membahayakan nyawa penduduk dan melakukan penderaan terhadap haiwan.

Sementara itu, Global News Canada melaporkan tradisi kontroversi (larian lembu jantan) itu sudah lama menghadapi kritikan daripada kumpulan hak asasi haiwan yang berpendapat bahawa amalan itu berbahaya untuk haiwan dan orang ramai.

Apa yang menyebabkan kumpulan hak asasi haiwan mahu agar festival itu dimansuhkan terutama adalah kerana sebaik acara itu berakhir dengan lembu-lembu itu dibunuh.

Bagaimanapun, festival berkenaan telah membawa pulangan ekonomi yang banyak terhadap Valencia, dengan lebih 10,000 acara larian lembu jantan setiap tahun dan lebih daripada 3,000 peluang pekerjaan; selain membawa masuk kira-kira 300 juta euro (RM1.78 bilion). -HARAKAHDAILY 22/7/2022.

- Advertisement -